LUAR NEGARA

Depot peluru meletup diserang dron, 37 maut berhampiran Kyiv

KYIV Sekurang-kurangnya 37 orang maut selepas sebuah depot tentera yang menyimpan bahan letupan dan peluru di barat Kyiv diserang dron Rusia, mengakibatkan letupan besar serta kebakaran yang merebak ke kawasan kediaman.

Serangan berlaku di bandar Myla, daerah Bucha, selepas dron Rusia menghentam sebuah gudang yang menyimpan peluru, dron dan bahan ketenteraan lain sebelum berlaku beberapa letupan besar.

Gabenor wilayah Kyiv, Tymur Tkachenko berkata, sekurang-kurangnya 50 bangunan kediaman turut rosak, termasuk sebuah pusat penjagaan warga emas dan golongan kurang upaya.

Beliau berkata, 42 orang termasuk empat kanak-kanak turut cedera dalam serangan berkenaan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, lebih 370 penduduk telah dipindahkan dari kawasan terbabit dan proses pemindahan masih diteruskan.

“Serangan pertama berlaku di tempat penyimpanan peluru yang sama sekali tidak sepatutnya berada di situ, iaitu depot pasukan pertahanan,” katanya menerusi rakaman video.

Zelenskyy berkata, siasatan jenayah telah dibuka atas dakwaan kecuaian pegawai, selain siasatan turut dijalankan bagi menentukan sama ada penyimpanan bahan letupan itu mematuhi peraturan keselamatan.

Katanya, peraturan sedia ada jelas melarang penyimpanan peluru berhampiran rumah atau kawasan penempatan.

Dalam kejadian itu, Ketua Komuniti Dmytrivka, Taras Didych, turut terbunuh ketika cuba menyelamatkan mangsa lain.

Perdana Menteri Ukraine, Serhii Koretskyi pula melahirkan kekesalan kerana tragedi terbaharu itu menunjukkan kesilapan sama berulang selepas insiden serangan ke atas depot peluru di Vyshneve, berhampiran Kyiv, pada Julai lalu yang mengorbankan 22 nyawa.

Katanya, siasatan terhadap kejadian sebelum ini mendapati sebuah syarikat milik kerajaan gagal mematuhi peraturan berkaitan jarak selamat antara depot penyimpanan bahan letupan dengan kawasan kediaman.

“Malangnya, tragedi mengerikan di Vyshneve tidak menjadi pengajaran,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, serangan Rusia di wilayah Kherson, selatan Ukraine, pada Sabtu mengorbankan dua orang dan mencederakan 27 yang lain termasuk seorang kanak-kanak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button