Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme gesa Azam Baki diganti
KUALA LUMPUR – Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki segera diganti susulan kenyataan yang membela Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap dakwaan rasuah pilihan raya.
C4 Center dalam satu kenyataan, menegaskan Azam perlu diganti bagi memastikan kebebasan SPRM dalam melaksanakan tugas.
“Pembaharuan segera mesti dilaksanakan bagi memastikan kebebasan SPRM termasuk penggantian serta-merta ketua pesuruhjaya, kerana Azam telah berulang kali menunjukkan bahawa kredibiliti SPRM telah merosot di bawah kepimpinannya,” katanya memetik laporan Awani semalam.
Menurut kumpulan itu, bertentangan dengan kenyataan Azam, terdapat alasan undang-undang untuk SPRM menyiasat pengumuman Ahmad Zahid baru-baru ini mengenai geran persekutuan untuk kumpulan belia Terengganu, kerana terdapat petunjuk bahawa jumlah itu mungkin dinaikkan bergantung kepada keputusan pilihan raya negeri (PRN).
C4 Center memetik Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang merangkumi ‘amalan rasuah’ dan termasuk menawarkan atau menjanjikan sebarang wang atau balasan berharga untuk mana-mana pengundi.
“Yang mana boleh ditafsirkan dengan cara yang meliputi tindakan Ahmad Zahid,” kata kumpulan itu.
Pada 28 Jun lalu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu.
Ahmad Zahid kemudian meminta belia yang hadir pada majlis itu untuk mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN 12 Ogos ini.
Tambah C4 Center, Azam tidak perlu mengeluarkan garis panduan baharu untuk mengawal pemberian bantuan dan peruntukan kerajaan semasa pilihan raya.
“Azam betul dalam menyatakan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan jelas menetapkan panduan yang mesti dipatuhi oleh calon pilihan raya.
“Bagaimanapun, keyakinannya bahawa tindakan Ahmad Zahid tidak melanggar mana-mana undang-undang, tanpa menjalankan sebarang siasatan mengenai perkara itu, mencerminkan salah baca asas undang-undang yang dipetiknya,” kata C4 Center.
Jelas kumpulan itu lagi, kesalahan tertentu di bawah undang-undang pilihan raya juga disifatkan sebagai “kesalahan yang ditetapkan” di bawah Akta SPRM 2009 di mana suruhanjaya itu diberi kuasa untuk melaksanakan semua kuasa penyiasatan yang ada padanya.
“Penegasan Azam bahawa peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan tidak mempunyai unsur rasuah tidak mempunyai sebarang asas undang-undang, dan bertentangan dengan semangat kedua-dua akta itu iaitu untuk memerangi amalan rasuah dalam bentuk yang pelbagai,” kata kumpulan itu.
Azam, kemudiannya dilaporkan berkata bahawa pemberian itu bukan satu kesalahan kerana ia telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan, dan oleh itu tidak mempunyai unsur rasuah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








