BN hormati keputusan individu keluar parti menjelang PRN Johor
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian mana-mana pemimpin dalam membuat keputusan termasuk mereka yang bertindak keluar parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu merupakan hak individu berkenaan, namun parti amat menghargai dukungan ahli baharu dan lama kepada kepimpinan BN Johor di bawah Datuk Onn Hafiz Ghazi, lapor BERNAMA.
” …yang penting adalah memberikan sokongan kepada semua 56 calon Barisan Nasional untuk PRN Johor nanti,” katanya selepas hadir merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa ke-25, di sini hari ini.
Ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil berhubung kenyataan berbaur fitnah oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar parti semalam, Ahmad Zahid Presiden UMNO berkata, tiada keperluan untuk mengenakan tindakan terhadap beliau.
“Beliau telah berhenti, jadi tidak perlu sebarang tindakan tertentu dilakukan dan beliau telah menawarkan diri untuk tidak bersama-sama dengan UMNO.
“Kita menghargai apa yang telah beliau sumbangkan kepada UMNO selama ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada Dr Mohd Puad Zarkashi,” katanya.
Semalam, Mohd Puad dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dan menyatakan keputusan itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.
Selain Mohd Puad, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim turut mengumumkan keluar daripada UMNO, berkuat kuasa semalam dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di bawah Perikatan Nasional (PN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








