BERITA SEMASA

Ketua Penerangan AMK kritik KJ sering ubah pendirian politik ikut keadaan semasa

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin membidas bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang sering mengubah pendirian politik mengikut perkembangan semasa, sekali gus mempersoalkan konsistensi prinsip yang dipegang beliau.

Menurut beliau, Khairy juga mempunyai kepentingan politik sendiri yang berubah mengikut fasa politik yang dilaluinya.

“Ada orang berkata, ular menyalin kulit kerana fitrahnya untuk membesar tetapi dalam politik, ada pula yang seolah-olah menyalin kulit setiap kali musim berubah. Wajahnya mungkin baharu, ungkapannya mungkin berbeza, tetapi coraknya tetap sama.

“Begitulah Khairy Jamaluddin. Hari ini beliau tampil memberi kuliah tentang prinsip dan pilihan politik. Sedangkan rekod beliau sendiri menunjukkan pendirian terhadap 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah berubah mengikut fasa politik yang dilaluinya.

“Apabila angin bertiup ke arah lain, naratifnya juga bertukar. Apa yang kekal hanyalah kepentingan politik diri beliau. Sebab itu rakyat hari ini tidak lagi mudah terpesona dengan ungkapanya. Ular boleh menyalin kulit, tetapi belang tetap dikenali. Begitu juga dalam politik Khairy Jamaluddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Danish turut menempelak Khairy yang sibuk mengajar penyokong Pakatan Harapan (PH) membuat pilihan untuk memilih calon yang bertanding bagi PRN Johor.

“Mungkin lebih baik Khairy terlebih dahulu menjawab satu persoalan yang masih belum terjawab, apakah sebenarnya prinsip yang beliau pegang sehingga hari ini dan adakah prinsip itu akan kekal selepas pilihan raya nanti?

“Apakah prinsip sekali lagi berubah jika beliau tidak dapat bertanding dikerusi yang diidamkan beliau?

“Bukan itu sahaja. Hampir setiap Presiden UMNO pernah menerima kritikan tajam Khairy apabila tidak bersesuaian dengan percaturan politiknya pada waktu itu tetapi apabila kedudukan berubah, kritikannya juga perlahan-lahan menghilang.

“Sebab itu rakyat semakin mudah membezakan yang mana satu Khairy Jamaluddin yang sebenar. Yang mengkritik Najib? Yang mempertahankan Najib? Yang mengkritik Zahid? Yang menyokong Rafizi? Atau yang hari ini pula mahu menjadi penasihat kepada penyokong PH?” soalnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button