BERITA SEMASA

Malaysia mahu lahir lebih ramai mekanik motosikal berkemahiran tinggi – Ahmad Zahid

SEMENYIH – Kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai mekanik motosikal berkemahiran tinggi menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri permotoran serta membuka peluang kerjaya kepada anak muda di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi latihan seperti GiatMARA berperanan penting dalam membangunkan tenaga mahir tempatan yang mampu memenuhi keperluan pasukan perlumbaan profesional, termasuk dalam kejohanan MotoGP.

“Jadi, saya harap anak-anak muda ikut saya masuk GiatMARA untuk menjadi mekanik motosikal. Insya-Allah, masa depan mereka akan lebih cerah apabila ada pelumba-pelumba yang mengambil khidmat mereka di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dan minatnya terhadap motosikal menerusi program Sembang Santai MotoGP di Fifty Seven Coffee, di sini, pada Khamis.

Menurut Ahmad Zahid, GiatMARA Bagan Datuk antara pusat latihan yang akan membantu melahirkan tenaga mahir dalam bidang berkenaan, selain perancangan membangunkan Malaysia China Institute (MCI) bagi menyediakan latihan berkaitan teknologi motosikal elektrik (EV) dan motosikal konvensional dari China.

“Kita mulakan dengan kecil dulu. Selain daripada itu, ada empat lagi tempat yang menyediakan mekanik dalam bidang permotoran ini,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, penyertaan dalam program TVET meningkat daripada 127,000 orang ketika beliau mula memegang jawatan itu empat tahun lalu kepada 587,000 orang pada 2026.

“Peningkatan permintaan dalam industri permotoran turut membuka peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan menarik kepada individu dengan kemahiran teknikal khusus.

“Gaji minimumnya ialah RM3,500. Inilah yang harus direbut oleh anak-anak muda,” katanya.

Menurutnya, kemahiran membaiki dan menyelenggara motosikal juga memberi kelebihan kepada pelumba serta penggiat sukan permotoran, selain membantu meningkatkan keupayaan industri tempatan.

Beliau mengambil contoh bekas pelumba negara, Wazi Abdul Hamid, yang bukan sahaja mahir menunggang motosikal, malah mempunyai kebolehan membaiki motosikal sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, tiga rakyat Malaysia kini terlibat dalam arena MotoGP, termasuk dua individu yang bekerja dalam kejohanan itu dan seorang lagi yang bertugas bersama pelumba Malaysia.

“salah seorang daripada mereka merupakan bekas pelajar GiatMARA yang berjaya membina kerjaya dalam arena perlumbaan antarabangsa selepas melalui latihan berperingkat, termasuk program MiniGP dan pembangunan bakat di peringkat akar umbi.

“Setelah itu, dia kini sudah empat tahun bekerja dalam MotoGP dengan pendapatan kira-kira 14,000 USD , manakala kos pengangkutan dan perbelanjaan berkaitan ditanggung oleh pasukan antarabangsa,” tambahnya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa sebuah jenama antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi pembukaan pusat servisnya, antaranya kerana kreativiti serta keupayaan komunikasi tenaga kerja tempatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa media, stesen televisyen dan platform media sosial memperluas penyampaian maklumat mengenai peluang TVET supaya lebih ramai anak muda melihat latihan kemahiran sebagai laluan membina masa depan yang lebih baik.

Beliau berkata, usaha melahirkan lebih ramai mekanik motosikal tempatan berkemahiran tinggi bukan sahaja dapat memenuhi permintaan industri, malah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pakar asing.

“Kita tak perlu mekanik daripada Itali ataupun daripada Sepanyol, mekanik daripada Malaysia pun boleh membantu pelumba-pelumba kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button