JENAYAH & MAHKAMAH

Tukang masak Malaysia ditahan seludup 17.88kg ganja bernilai RM2.3 juta di Mauritius

KUALA LUMPUR – Seorang tukang masak warga Malaysia ditahan di Mauritius selepas 17.88 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira RM2.3 juta ditemukan dalam beg pakaiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, Plaisance pada 23 Oktober lalu.

Memetik laporan media Mauritius, defimedia.info, dadah berkenaan ditemukan dalam 17 bungkusan mampat ketika pemeriksaan terhadap penumpang pesawat EK709 dari Dubai yang tiba kira-kira pukul 3 petang.

Pada hari kejadian, pegawai Unit Anti Dadah dan Penyeludupan (ADSU) bersama Bahagian Antinarkotik Kastam (CANS) memantau penumpang pesawat berkenaan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap beberapa individu yang menimbulkan kecurigaan.

Beg pakaian milik suspek menarik perhatian pihak berkuasa sebelum diimbas menggunakan pengimbas keselamatan.

Pemeriksaan awal mengesan kehadiran bahan yang disyaki dadah, mendorong pegawai kastam dan ADSU melakukan pemeriksaan lebih terperinci.

Hasilnya, mereka menemukan 17 bungkusan mampat berisi ganja dengan berat bersih keseluruhan 17.88kg, manakala nilai pasarannya dianggarkan mencecah 25.5 juta rupee Mauritius.

Susulan penemuan itu, lelaki berkenaan ditahan sebelum disoal siasat oleh penyiasat ADSU.

Pihak berkuasa kemudian melaksanakan operasi penghantaran terkawal dengan menggantikan dadah berkenaan menggunakan bungkusan palsu bagi mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi penerima kiriman itu.

Bagaimanapun, operasi berkenaan gagal membawa kepada penahanan penerima yang disyaki apabila individu terbabit tidak hadir untuk mengambil bungkusan berkenaan.

Telefon bimbit suspek turut dirampas untuk pemeriksaan lanjut bagi membantu siasatan, selain wang tunai sebanyak 8,150 rupee Mauritius serta sejumlah wang dalam mata wang Malaysia dan Thailand.

Suspek kemudian ditahan polis atas pertuduhan sementara mengedar dadah melalui pengimportan dadah berbahaya dengan dakwaan bagi tujuan pengedaran.

Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dan pihak lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button