
Pendakwa Raya Thailand fail rayuan lanjut tahanan Eda Ezrin
KOTA BHARU – Pendakwa Raya Thailand memfailkan rayuan untuk melanjutkan tempoh tahanan selama sebulan terhadap penyanyi dikir barat, Eda Ezrin, suaminya dan empat lagi rakyat Malaysia, susulan pembebasan mereka daripada tuduhan memiliki dadah jenis yaba sebelum ini.
Menurut jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat, permohonan rayuan itu difailkan di kaunter mahkamah pada petang semalam dan keputusan dijangka dibuat oleh seorang hakim pada awal minggu depan.
“Jika rayuan itu dibenarkan, mereka akan terus ditahan di penjara selama sebulan lagi bagi memberi ruang kepada siasatan lanjut ke atas dakwaan pemilikan 6,059 pil yaba,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Sebelum ini, pada 6 Mac lalu, panel dua hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat memutuskan untuk membebaskan keenam-enam mereka daripada pertuduhan memiliki pil berkenaan yang didakwa dilakukan di Sungai Golok pada 1 November 2023.
Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengambil dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda 4,000 baht (kira-kira RM526).
Namun, mereka tidak perlu menjalani hukuman penjara itu kerana telah ditahan lebih empat bulan di Penjara Narathiwat, dan turut dikecualikan daripada membayar denda.
Mahkamah turut memberi tempoh sebulan kepada pihak pendakwaan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan, yang tamat pada 6 April lalu.
Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut daripada pihak peguam atau wakil keluarga berhubung rayuan lanjutan tahanan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








