BERITA SEMASA

Dakwaan kegiatan dadah berhampiran IPD Sentul berlaku 10 tahun lalu

KUALA LUMPUR – Dakwaan kegiatan pengedaran dadah berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang tular menerusi sebuah siniar sebenarnya merujuk kejadian kira-kira 10 tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya mengesan video berdurasi dua minit 30 saat yang dimuat naik menerusi akaun TikTok pada jam 10.38 pagi, semalam.

Beliau berkata, video itu memaparkan dakwaan mengenai kegiatan pengedaran dadah berhampiran sebuah balai polis di Sentul, sekali gus mendorong pihaknya menjalankan semakan lanjut.

“Hasil semakan mendapati, kejadian yang dibangkitkan dalam siniar berkenaan berlaku pada 12 Julai 2016 dan tiga laporan polis berkaitan kejadian diterima ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati kandungan siniar itu merupakan penceritaan semula pengalaman seorang tetamu dalam bidang kewartawanan yang berlaku pada tahun berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, penyebaran kandungan sedemikian tidak wajar kerana boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap polis, selain menjejaskan imej dan kredibiliti pasukan.

“Semua pihak perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap sebarang perkongsian atau penyebaran maklumat kepada umum.

“Polis komited untuk terus memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Dalam siniar berkenaan, seorang tetamu yang berkongsi pengalamannya sebagai wartawan mendakwa pernah memantau kegiatan dadah di sebuah rumah ibadat yang tidak lagi digunakan, berhampiran sebuah balai polis di Sentul.

Tetamu itu mendakwa berada di kawasan berkenaan selama tiga hingga empat hari bagi mengesan kegiatan dadah yang dikatakan berlaku di tandas lama bangunan terbabit.

Dia turut mempersoalkan bagaimana kegiatan yang didakwanya berskala besar boleh berlaku berhampiran balai polis tanpa disedari pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button