Tragedi kebakaran kompleks apartment, Setiausaha Perumahan Hong Kong letak jawatan
HONG KONG – Setiausaha Perumahan Hong Kong, Winnie Ho meletak jawatan susulan insiden kebakaran kompleks apartment di Tai Po yang meragut 168 nyawa pada November tahun lalu.
Menurut Channel News Asia, peletakan jawatan Ho itu diumumkan oleh Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, hari ini.
Lee turut menundukkan kepala dan memohon maaf atas kebakaran maut berkenaan serta berikrar untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap industri pembinaan dan sistem kawal selia wilayah itu.
“Saya amat berdukacita. Saya ingin memohon maaf kepada penduduk yang terjejas dan masyarakat umum,” kata Lee.
Beliau kemudiannya mendedahkan laporan kebakaran tersebut setebal lebih 1,000 muka surat yang disediakan panel diketuai seorang hakim, yang memperincikan pelbagai kegagalan tadbir urus dan pengawasan dalam sistem pengubahsuaian bangunan di Hong Kong.
Kebakaran pada 26 November itu memusnahkan tujuh blok menara 31 tingkat di kompleks perumahan Wang Fuk Court, yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian di daerah utara Tai Po.
Ia merupakan kebakaran paling dahsyat di bandar raya itu sejak 1948 dengan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka tidak lagi boleh didiami.
Lee berkata, keputusan supaya Ho memikul tanggungjawab atas insiden tersebut dibuat selepas mempertimbangkan faktor-faktor seperti peranan rasmi, portfolio dasar dan perkara-perkara berkaitan yang lain.
“Walaupun insiden di bawah bidang kuasa Unit Pemeriksaan Bebas (ICU) Biro Perumahan tidak melibatkan kesalahan atau salah laku peribadi, saya berpandangan Setiausaha Perumahan wajar memikul akauntabiliti politik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








