
Penduduk dakwa lihat individu sebelum tercetus kebakaran besar di bukit di Puncak Jalil
PUCHONG – Penduduk mendakwa terdapat individu dilihat berada di kawasan bukit berhampiran Puncak Jalil sebelum kebakaran tercetus pada petang semalam sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan mereka.
Bagaimanapun, dakwaan itu masih belum dapat disahkan kerana tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan yang boleh membantu mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Seorang penduduk, Mohd Husaini Moh, berkata kejadian itu hanya disedari selepas dia ternampak kepulan asap tebal dari arah bukit berkenaan ketika berada di rumah.
Menurutnya, pada awalnya dia tidak menyedari terdapat kebakaran kerana baru pulang ke rumah dan berada di dalam bilik dengan penghawa dingin terpasang.
“Saya nampak asap sahaja pada mulanya, api belum kelihatan kemudian barulah nampak api dengan lebih jelas di kawasan bukit itu,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Mohd Husaini berkata, beberapa penduduk bertindak menyiram kawasan berhampiran rumah masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu bantuan tiba.
“Jiran-jiran juga keluar membantu menyiram kawasan sekitar rumah kerana bimbang api merebak atau bara terbang masuk ke kawasan kediaman,” katanya lagi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh kira-kira setengah jam.
Walaupun tiada kerosakan dilaporkan pada rumah penduduk, Mohd Husaini mengakui mereka tetap bimbang sekiranya kebakaran menjadi lebih besar kerana terdapat banyak pokok besar di kawasan bukit tersebut.
“Kalau api merebak atau pokok tumbang, memang kami risau ia boleh menimpa rumah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








