‘Malaysia perlukan pemimpin berfikiran terbuka’ – Martin bandingkan kepimpinan Adam Adli, Akmal Saleh
KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan pemimpin berfikiran terbuka yang mampu membawa perubahan, bukannya terus terperangkap dalam kitaran politik berulang, menurut penganalisis dan penulis, Martin Vengadesan.
Beliau berkata demikian ketika membuat perbandingan pendekatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Dalam ulasannya, Martin melihat kedua-dua tokoh berkenaan mewakili gaya kepimpinan yang berbeza, dengan Adam dilihat membawa pendekatan lebih progresif, manakala Akmal sering dikaitkan dengan kenyataan dan pendirian politik yang mencetuskan polemik.
“Pada pandangan saya, Adam menampilkan pendekatan progresif dan bersahaja. Namun, beliau tetap teguh dengan prinsipnya. Beliau pernah menjadi pemimpin mahasiswa yang ditahan dan berdepan tekanan ketika pemerintahan terdahulu.
“Adam kemudiannya memilih untuk menyertai sebuah parti berbilang kaum dan perjalanan politiknya berkembang daripada ketua Pemuda PKR kepada timbalan menteri pendidikan tinggi selepas memenangi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.
Martin turut menyorot pendekatan Adam dalam memperjuangkan kepentingan golongan yang memerlukan, termasuk usaha berkaitan kemudahan pembayaran balik pinjaman PTPTN.
Antara langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 ialah penetapan bayaran balik minimum PTPTN sebanyak RM50 sebulan bagi peminjam berpendapatan RM2,501 hingga RM3,000, selain pengecualian bayaran balik bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,500, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Adam juga dikaitkan dengan pelbagai inisiatif melibatkan pengangkutan awam, pendidikan dan pembangunan belia, termasuk pas My50 dan MyKomuter50, bantuan perjalanan FlySiswa bernilai RM500 bagi perjalanan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, serta usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program Rakan Muda dan projek mitigasi banjir di kawasan Hang Tuah Jaya turut menjadi antara usaha yang diketengahkan dalam menilai pendekatan khidmatnya kepada masyarakat.
Sebaliknya, Martin melihat gaya politik Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO sebagai lebih bersifat konfrontasi, dengan beberapa kenyataan dan tindakannya mencetuskan perdebatan awam.
“Kedua-duanya hanya berbeza usia setahun, tetapi mencerminkan cara berpolitik yang sangat berlainan. Bagi saya, rekod politik Akmal dipenuhi kontroversi. Namun, pendekatan itu mungkin mempunyai tarikannya tersendiri dalam kalangan kelompok tertentu termasuk golongan mat rempit.
“Minggu lalu, beliau sekali lagi kalah dalam saman fitnah apabila Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan memihak kepada Teresa Kok berhubung kenyataannya pada September 2024 yang mengecam Ahli Parlimen Seputeh itu kerana mempersoalkan cadangan mewajibkan pensijilan halal.
Selain itu, Akmal sebelum ini dilaporkan menyatakan kesediaan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau sekiranya kes berkaitan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan menjejaskan peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.
Kes itu dikaitkan dengan hantaran atau video di Facebook pada 11 Ogos 2025 berhubung isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik. Akmal dilaporkan telah menyampaikan pendiriannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Martin turut mengaitkan pendekatan Akmal dengan beberapa kontroversi lain termasuk gesaannya supaya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dipecat susulan pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan, selain kempen boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Mart selepas penemuan stoking tertera kalimah ‘Allah’.
Perbandingan itu memperlihatkan bagaimana pendekatan dan gaya komunikasi seseorang pemimpin boleh mempengaruhi persepsi masyarakat, khususnya ketika parti politik bersiap menghadapi pilihan raya.
Dalam konteks PRN Melaka, perbezaan pendekatan kedua-dua tokoh itu turut mengundang perhatian terhadap jenis kepimpinan yang mahu diketengahkan kepada pengundi, sama ada yang lebih menumpukan pelaksanaan dasar dan khidmat masyarakat atau yang menggunakan pendekatan lantang dalam membangkitkan isu politik.
“Malaysia memerlukan pemimpin yang berfikiran terbuka dan mampu bergerak keluar daripada kitaran politik yang berulang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







