PRN Melaka: BN jangan terlalu selesa, pandang ringan lawan
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Melaka diingatkan supaya tidak terlalu selesa atau memandang rendah kemampuan pihak lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kedudukan BN ketika ini bukan dicapai dengan mudah, sebaliknya hasil kerja keras, kestabilan dan sokongan rakyat selama ini.
“Semua calon dan jentera parti perlu terus bekerja keras, turun padang mendengar suara rakyat serta tidak mengambil mudah persaingan yang bakal dihadapi.
“Jangan sesekali kita selesa. Jangan pandang ringan lawan. Terus turun padang, dengar suara rakyat.
“Lawan kita juga mempunyai kelebihan, namun, selalu saya sebut kalau dia bagi, kita ambil! Kalau mereka nak sumbang kita ambil!” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.
Sebelum itu, Ab Rauf melancarkan Jentera Pilihan Raya BN peringkat Parlimen Kota Melaka sempena PRN Melaka ke-16, selain menyertai konvoi lebih 100 motosikal ke tapak pelancaran di Taman Bukit Punggur, Telok Mas.
Beliau turut meminta semua peringkat pimpinan dan jentera parti memberikan sokongan penuh kepada calon BN bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya berkenaan.
Antara calon yang disebut ialah Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang bertanding di Duyong dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di Telok Mas.
Ab Rauf berkata, PRN itu juga perlu menjadi medan menyatukan rakyat berbilang kaum demi memastikan masa depan Melaka terus gemilang.
“Melaka adalah jambatan menuju Putrajaya. Pada 14 November ini, marilah kita bersatu hati, Melayu, Cina, India dan seluruh rakyat Melaka demi masa depan negeri ini yang lebih gemilang,” katanya.
BN sebelum ini mengumumkan 21 calon bagi PRN Melaka ke-16, dengan menampilkan lapan muka baharu dan mengekalkan 13 calon sedia ada.
Daripada jumlah itu, 18 calon mewakili UMNO, dua MCA dan seorang MIC, manakala tujuh kerusi lagi akan diserahkan kepada rakan strategik yang bekerjasama dalam pilihan raya berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








