SUKAN

Terbuka Perancis: Wei Chong-Kai Wun raih hadiah lebih RM270,000, tamatkan kemarau 22 tahun

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan penantian 22 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis selepas menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi final, semalam.

Kejayaan itu dilakar selepas Wei Chong-Kai Wun bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 dalam perlawanan yang berlangsung selama 44 minit di Arena Grand Paris.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu bermula hambar apabila tewas 13-21 pada set pertama sebelum memperkemaskan permainan untuk menguasai set kedua 21-15, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Wei Chong-Kai Wun kemudian mempamerkan aksi lebih bertenaga pada set ketiga apabila mendominasi permainan untuk menang 21-7, sekali gus mengesahkan kejuaraan kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 750 itu.

Lebih manis, kejayaan berkenaan hadir selepas kedua-dua pemain kembali digandingkan selepas membawa haluan masing-masing selama beberapa bulan. Mereka sebelum ini bergandingan selama lebih lima tahun dan pernah menjuarai Masters Malaysia pada Mei tahun lalu.

Wei Chong berkata, mereka tidak terlalu memikirkan soal kemenangan atau kekalahan ketika turun berdepan pasangan pilihan keenam kejohanan itu, sebaliknya mahu memberikan aksi terbaik dan berjuang mendapatkan setiap mata.

“Kami sedar kami adalah pasangan bukan pilihan. Jadi, kami hanya mahu memberikan aksi terbaik dan cuba mendapatkan setiap mata.

“Kami bangga dapat mencipta sejarah menerusi pertembungan sesama Malaysia di final Terbuka Perancis ini. Saya juga berharap lebih banyak pasangan dari Malaysia dapat bersaing bersama-sama kami,” memetik BH online.

Kali terakhir Malaysia menjuarai acara beregu lelaki Terbuka Perancis ialah pada 2004 menerusi gandingan Gan Teik Chai-Koo Kien Keat.

Sebagai juara, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$70,300 (kira-kira RM287,196), manakala Sze Fei-Nur Izzuddin menerima AS$33,250 (kira-kira RM135,836) selaku naib juara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button