BERITA SEMASA

TuJu bukan pesaing Waze, fokus perkhidmatan lebuh raya bertol

KUALA LUMPUR – Aplikasi navigasi TuJu dibangunkan bagi menambah baik perkhidmatan di lebuh raya bertol dan bukannya untuk bersaing secara langsung dengan Waze.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, aplikasi itu bertujuan menyediakan perkhidmatan tambahan kepada pengguna lebuh raya, termasuk maklumat trafik, kawasan rehat dan rawat (R&R), lokasi kamera penguatkuasaan serta bantuan kecemasan.

“Ia bukan (aplikasi) navigasi macam Waze. Kita hanya buat kerjasama untuk menambah baik kita punya pusat pengurusan trafik,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Menurut Hasni, skop dan keupayaan TuJu ketika ini tertumpu kepada pengguna lebuh raya bertol, selaras dengan bidang kuasa LLM yang memberi penekanan kepada pengurusan trafik serta keselamatan lebuh raya.

“Jika anda dalam perjalanan di lebuh raya dari Ayer Keroh ke Seremban, aplikasi ini akan dapat memaklumkan anda mengenai keadaan trafik sepanjang perjalanan, susur keluar, kawasan rehat, dan kemudahan-kemudahan lain,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkannya supaya menaik taraf aplikasi berkenaan selepas timbul aduan pengguna mengenai masalah teknikal dan kelemahan fungsi navigasi.

Hasni berkata, kemungkinan memperluas liputan TuJu ke jalan persekutuan, jalan perbandaran dan jalan kampung tidak ditolak, namun pelaksanaannya bergantung kepada keupayaan teknikal serta pembiayaan.

“Mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, ya, kita boleh meluaskannya ke jalan persekutuan, jalan perbandaran, dan jalan kampung.

“Tetapi buat masa ini, tumpuan hanya diberikan kepada lebuh raya bertol,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasni turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kekeliruan dalam taklimat LLM kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung fungsi sebenar aplikasi itu.

“Jika taklimat yang disampaikan oleh LLM kepada MKN itu mengelirukan, ia sepatutnya tidak berlaku.

“Jika perkara itu benar-benar berlaku, saya berpendapat ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya perlu memastikan sama ada LLM dan syarikat pembangun aplikasi itu, Prosignal Consortium Sdn Bhd (Prosignal), telah memberikan penjelasan tepat mengenai fungsi TuJu ketika taklimat berkenaan.

Sebelum itu, Anwar menggalakkan rakyat Malaysia beralih daripada Waze kepada TuJu atas kebimbangan berkaitan keselamatan maklumat pengguna dan data pergerakan.

Bagaimanapun, TuJu menerima aduan mengenai gangguan teknikal serta kekurangan fungsi navigasi susulan peningkatan jumlah pengguna.

Pada 23 Oktober lalu, Anwar mengakui aplikasi itu masih belum lengkap sepenuhnya, manakala Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan bahawa penggunaan TuJu bukanlah sesuatu yang diwajibkan kepada semua rakyat Malaysia.

Dalam isu berasingan, Hasni mempertahankan kerjasama LLM dengan Prosignal susulan persoalan mengenai pelaksanaan projek itu tanpa tender terbuka.

Beliau berkata, keputusan meluluskan projek berkenaan dibuat secara kolektif oleh lembaga pengarah LLM dan bukannya keputusan seorang individu semata-mata.

“Maksud saya, idea itu dibentangkan ketika beliau menjadi pengerusi dan dipersetujui oleh lembaga pengarah.

“Ini bermakna ramai pihak terbabit. Ia bukan keputusan beliau seorang sahaja,” katanya merujuk kepada bekas Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rashid Asari.

Hasni berkata, projek TuJu dibiayai pelabur melalui dana dalaman atau pinjaman dan tidak menggunakan peruntukan kerajaan.

“TuJu dibiayai oleh pelabur dalam projek itu, sama ada melalui dana dalaman atau pinjaman.

“Oleh itu, jika ada pihak yang bertanya mengapa ia tidak dianugerahkan melalui tender terbuka, jawapannya ialah kerana tiada dana kerajaan yang terbabit. Selain itu, LLM sentiasa mematuhi peraturan kewangan,” katanya.lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button