HIBURAN

Zaim Zaini, Mia maafkan wanita didakwa jatuhkan air muka ketika berniaga

KUALA LUMPUR – Pengacara dan usahawan, Zaim Zaini memilih untuk menyelesaikan isu membabitkan isterinya, Mia dan seorang wanita yang didakwa menjatuhkan air muka ketika mereka berniaga secara baik menerusi ruang kemaafan.

Keputusan itu dibuat selepas Zaim dan Mia berbincang, selain mengambil kira tindakan wanita yang dipercayai pengusaha katering itu tampil menemui mereka bagi memberikan penjelasan serta memohon maaf.

Menerusi perkongsian video di TikTok, Zaim berkata beliau menghormati keputusan isterinya untuk memaafkan wanita terbabit dan menghargai keberaniannya tampil bersemuka bagi menjernihkan keadaan.

“Setelah saya dan Mia berbincang, keputusan Mia untuk memaafkan akak katering ini saya hormati.

“Kami juga berterima kasih atas keberanian dan kejujuran akak katering ini untuk tampil mencari kami dan menjelaskan apa yang berlaku,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Zaim turut menyampaikan permohonan maaf kepada semua pihak yang mungkin berasa kurang senang susulan insiden berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu diharap dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak, khususnya mereka yang sama-sama mencari rezeki menerusi perniagaan.

“Saya dan Mia juga ingin memohon maaf kepada semua yang terlibat dan kurang senang dengan segala apa yang berlaku. Segalanya dengan izin Allah.

“Semoga perkara sebegini menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Marilah kita saling menghormati sesama kita, terutama kita sesama yang sedang berjuang dalam perniagaan,” ujarnya.

Sebelum ini, satu rakaman video memaparkan seorang wanita bersama seorang lelaki mengunjungi gerai pasangan itu bagi membeli nasi goreng yang dijual mereka tular di media sosial.

Bagaimanapun, tindakan wanita berkenaan menegur Mia supaya menyediakan makanan lebih awal dan menyimpannya dalam bekas tahan panas mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Insiden itu kemudian mengundang perbincangan netizen mengenai kepentingan menjaga adab ketika berurusan dengan peniaga, khususnya dalam situasi yang melibatkan teguran secara terbuka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button