BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Usahawan gagal kuasai AI berisiko hilang daya saing dalam pasaran masa depan

KUALA LUMPUR – Teknologi kecerdasan buatan (AI) serta transformasi digital dijangka menjadi elemen penting dalam menentukan daya tahan sesebuah perniagaan pada masa depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KNK Group, Prof Adam Richman berkata, golongan usahawan yang tidak bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan pendekatan pemasaran semasa berdepan risiko ketinggalan dalam pasaran yang semakin mencabar.

“Usahawan yang menghasilkan kandungan menggunakan AI perlu kembali kepada matlamat asal iaitu bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk memajukan negara.

“Kemajuan negara bukan terletak kepada kerajaan semata-mata, tetapi juga kepada usahawan yang membawa teknologi, idea baharu dan kemudahan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Seven Mega Growth Strategies 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh di ibu negara, semalam.

Turut hadir, Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr Zurainah Musa dan Datuk Wan Azmir Wan Majid bagi mewakili Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Program Seven Mega Growth Strategies 2026 membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan dan daya tahan usahawan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global semasa.

Sementara itu, dalam ucapannya, Fuziah berkata dunia perniagaan ketika ini berdepan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks melibatkan tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat serta peningkatan kos operasi yang memberi kesan langsung kepada usahawan dan perusahaan tempatan.

Menurut beliau, usahawan masa kini perlu lebih bersedia bukan sahaja dari aspek operasi dan jualan, malah perlu memperkukuh strategi pemasaran, pengurusan risiko serta kesiapsiagaan perundangan bagi memastikan perniagaan kekal relevan dan mampan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

“Dalam dunia yang terlalu kompetitif hari ini, visibility adalah survival. Jenama yang terus relevan dan dilihat akan terus dipercayai pengguna. Sebab itu usahawan perlu memahami kepentingan pemasaran strategik, jaringan kolaborasi dan perlindungan asas perniagaan mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus komited memperkasa ekosistem perdagangan domestik serta membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup.

usahawan
Program Seven Mega Growth Strategies 2026 membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan dan daya tahan usahawan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global semasa.

Menurutnya, bagi tahun 2025, KPDN menyasarkan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI di seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini dengan kekerapan minimum dua kali sebulan sebagai usaha berterusan membantu rakyat mendapatkan akses kepada barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik platform yang menghimpunkan pemain industri, usahawan dan komuniti antarabangsa bagi membuka ruang perkongsian ilmu, jaringan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Zurainah Musa berkata, platform seumpama itu penting dalam membantu memperluaskan jaringan strategik serta membuka peluang kerjasama antara pemain industri, komuniti perniagaan dan rakan antarabangsa.

“Dunia perniagaan hari ini memerlukan lebih banyak ruang perkongsian ilmu dan networking berkualiti bagi membantu syarikat tempatan terus berkembang secara mampan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button