BERITA SEMASA

Hari Guru: Pengorbanan guru anak autisme dibalas Anugerah Khas Menteri Pendidikan

IPOH – Air mata hampir mengalir sebaik namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55.

Bagi guru Dr Velerie Wheelervon Primus, pengiktirafan itu menjadi simbol penghargaan terhadap segala perjuangan dan pengorbanannya sepanjang 13 tahun berada dalam dunia pendidikan.

Guru yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Bingkor itu berkata, dia amat bersyukur apabila segala usaha dan dedikasinya dihargai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta komuniti pendidikan di negara ini.

“Apabila diumumkan nama saya, saya nak menangis sebenarnya. Saya amat gembira dan bersyukur atas segala perjuangan saya selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sini semalam.

Guru
Dr Velerie Wheelervon Primus berkongsi rasa syukur selepas diumum penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Dr Velerie berkata,
pengalaman membesarkan anak autisme menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya sehingga mendorong beliau mendalami bidang pendidikan khas sejak tahun 2020.

Katanya, pengalaman itu turut membawa kepada pembangunan tiga pendekatan pendidikan dikenali sebagai HOP, Miracles dan NeuroArts bagi membantu murid berkeperluan khas.

“Pendekatan HOP menggabungkan intervensi antara sekolah dan rumah bersama ibu bapa. Miracles pula menerapkan aplikasi terapi cara kerja dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas.

“Pendekatan terbaharu iaitu NeuroArts menggabungkan neurologi, sains dan terapi cara kerja dalam proses PDP,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut memberi impak luar biasa apabila berjaya membantu seorang murid autisme yang sebelum ini berkerusi roda sehingga mampu berlari dan bermain bola pada awal tahun ini.

Beliau berkata, perjalanan kerjayanya bermula sebagai guru sukan sebelum beralih kepada guru seni kebudayaan dan akhirnya mendalami pendidikan khas selepas anak tunggalnya didiagnosis sebagai Autism Spectrum Disorder.

“Ketiga-tiga bidang ini saya gabungkan melalui pendekatan NeuroArts yang saya bangunkan pada awal tahun ini,” katanya.

Anaknya yang kini berusia 11 tahun, menjadi sumber kekuatan terbesar buat dirinya untuk terus berjuang dalam dunia pendidikan khas.

“Saya harap Noga bangga dengan apa yang telah dilakukan ini,” katanya lagi.

Baca juga : KPM selesaikan 50 kekosongan jawatan guru besar, pengetua seluruh negara

Menurut beliau lagi, cita-cita menjadi guru sudah terpahat sejak kecil apabila membesar di kawasan pedalaman daerah Keningau yang ketika itu mempunyai akses pendidikan amat terhad.

Katanya, inspirasi terbesar dalam hidupnya ialah ibunya sendiri yang juga seorang guru dan menjadi individu membentuk jiwanya untuk terus kuat melahirkan generasi penuh empati serta nilai kemanusiaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button