Tiada siapa atasi undang-undang, pesalah wajib jalani hukuman – Majlis Presiden PH
PUTRAJAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan tiada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang dan mana-mana individu yang disabitkan atas sesuatu kesalahan mesti menjalani hukuman mereka mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia berdiri teguh di belakang pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nasihat yang diberikan Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan kepada Lembaga Pengampunan.
“Majlis Presiden PH berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri, serta nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan kepada Lembaga Pengampunan hari ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, prinsip kesamarataan di sisi undang-undang kekal sebagai asas penting dan perlu ditegakkan dalam perkara yang melibatkan sabitan jenayah dan hukuman.
Majlis itu turut menegaskan semula komitmennya untuk memerangi rasuah, meneruskan agenda Reformasi serta membersihkan negara daripada rasuah dan penyelewengan.
“Majlis ini bertekad untuk meneruskan usaha memerangi rasuah, menegakkan agenda Reformasi dan membersihkan negara daripada unsur-unsur rasuah serta penyelewengan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang bermula kira-kira pukul 5.30 petang dan berakhir selepas hampir dua jam di kompleks Perdana Putra, di sini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








