POLITIK

PRN Melaka: Lima kali ayah tewas, Mukhlis tiada niat balas dendam

MELAKA – Calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin tidak pernah berniat membalas dendam terhadap lima kekalahan bapanya dalam pilihan raya sebelum ini, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai cabaran untuk meneruskan perjuangan berbakti kepada masyarakat.

Mukhlis atau nama penuhnya, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 25, berkata, pengalaman melihat bapanya, Julasapiyah Kassim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Julas, aktif turun padang dan membantu masyarakat sejak beliau kecil menjadi inspirasi untuk meneruskan usaha berkenaan.

Menurutnya, kekalahan bapanya dalam lima pilihan raya di kawasan sama tidak pernah mematahkan semangat keluarga mereka, malah menjadi pembakar semangat untuk bekerja lebih keras bagi mendapatkan kepercayaan pengundi.

“Ayah saya bertanding lima kali dan lima kali kalah, orang kecam serta membahan itu perkara biasa. Saya ambil perkara itu sebagai satu cabaran dan benih perjuangan untuk menambah lagi semangat bekerja lebih kuat.

“Kalau ayah saya bertanding lima kali dan lima kali kalah, mungkin saya kena bekerja enam atau tujuh kali ganda untuk mendapatkan hati pengundi di DUN Kuala Linggi,” katanya pada sidang akhbar Jabatan Pilihan Raya PH di Bilik Gerakan Utamanya di sini hari ini.

Mukhlis berkata, penyertaannya dalam pilihan raya bukan semata-mata untuk merealisasikan hasrat bapanya menjadi wakil rakyat, sebaliknya didorong keinginan meneruskan kerja kemasyarakatan yang sudah sebati dalam kehidupannya.

“Saya tak ada niat pun nak membalas dendam tapi sebab dah terbiasa dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan turun padang, jadi kita pun terikut.

“Benda baik kita ikut, ayah saya didik untuk pergi ke masjid dan sampai sekarang saya pergi masjid, Subuh di masjid tak ada masalah,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, bapanya tetap meneruskan khidmat kepada masyarakat walaupun lima kali gagal memenangi kerusi DUN Kuala Linggi.

“Ayah saya sudah lama berbakti walaupun kalah. Dia tetap bekerja dan pergi ke ceruk kampung. Sebut sahaja Ustaz Julas, ramai yang mengenalinya.

“Jadi, perkara baik yang diajar sejak kecil itu kita ambil dan teruskan supaya dapat membawa sesuatu yang baik kepada masyarakat di Kuala Linggi,” katanya.

Mukhlis kini aktif dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Melaka dan Ketua Mahasiswa AMANAH Nasional, manakala bapanya merupakan Ketua Amanah Kawasan Kuala Linggi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, DUN Kuala Linggi menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mukhlis, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Rosli Abdullah daripada Barisan Nasional (BN) dan Nur Farhana Hamzah daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Untuk rekod, Ustaz Julas pernah bertanding di kerusi DUN Kuala Linggi sebanyak lima kali sejak 1999, iaitu pada pilihan raya umum 1999, 2004, 2008 dan 2013 atas tiket Pas sebelum kembali bertanding pada PRN Melaka 2021 menggunakan tiket PH menerusi AMANAH.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button