PH mahu projek Monorel Melaka dinilai semula
AYER KEROH – Pakatan Harapan (PH) Melaka mahu projek Monorel Melaka bernilai kira-kira RM16.5 juta dinilai semula bagi menentukan sama ada ia wajar dipulihkan atau ditamatkan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, penilaian itu perlu mengambil kira tahap keselamatan struktur sedia ada dan potensi kemasukan pelaburan baharu.
“Projek terbengkalai tidak boleh dibiarkan tanpa penyelesaian kerana keadaan itu turut menjejaskan imej pelancongan negeri.
“Kalau struktur secara asas tidak boleh digunakan lagi dan ada aspek-aspek keselamatan, maka kita tidak ada pilihan melainkan kita kena tamatkan apa yang telah kita ada,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.
Monorel Melaka sepanjang kira-kira 1.6 kilometer mula beroperasi pada Oktober 2010 sebelum berdepan beberapa masalah teknikal dan terhenti semula pada 2020.
Pada November 2024, pentadbiran negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dilaporkan mengemukakan cadangan menukar trek monorel berkenaan kepada laluan pejalan kaki sebagai tarikan pelancongan baharu.
Adly turut berkata, jumlah RM16.5 juta itu tidak termasuk kos penyelenggaraan selepas projek berkenaan dibangunkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














