POLITIK

‘Jumpa Jason’ pendekatan calon PH dekati pengundi

MELAKA – Tidak mahu sekadar menunggu aduan di pejabat, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Jason Tze-Xi Nathan menawarkan kaunter bergerak ‘Jumpa Jason’ bagi memudahkan penduduk bertemu dengannya secara bersemuka.

Jason berkata, inisiatif itu merupakan antara tiga janji dalam manifesto peribadinya selain menaik taraf kemudahan awam dan menyediakan dana khas untuk aktiviti komuniti setempat.

Menurutnya, kaunter bergerak itu akan dibawa ke lokasi tumpuan masyarakat supaya penduduk boleh menyampaikan aduan serta masalah secara terus tanpa perlu menunggu program rasmi.

“Saya tidak mahu menjadi wakil rakyat yang hanya duduk di pejabat ataupun berjumpa penduduk ketika program sahaja.

“Saya akan turun dengan kaunter bergerak ke tempat yang memang komuniti berkumpul supaya masyarakat mempunyai peluang berjumpa saya secara bersemuka,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Mengulas strategi kempen, beliau berkata pendekatan secara kecil-kecilan seperti mengunjungi warung dan mengadakan ceramah kelompok dipilih bagi mendekati penduduk berbanding ceramah berskala besar.

“Strategi itu mengambil kira keadaan Pengkalan Batu yang mempunyai banyak kawasan perumahan dan kampung matang, manakala sebahagian anak muda yang berasal dari kawasan itu telah berhijrah ke tempat lain,” katanta lagi

Sehubungan itu, beliau turut menggunakan media sosial untuk menyampaikan tawaran serta perancangannya kepada golongan muda yang berada di luar kawasan berkenaan.

“Memang ada anak muda di sini, tetapi ramai juga yang berada di luar. Jadi, saya merancang strategi media sosial supaya mereka dapat melihat apa yang ingin saya tawarkan kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau mengakui agak sukar untuk menemui keseluruhan kira-kira 26,000 pengundi sepanjang tempoh kempen, namun akan berusaha turun padang dari pagi hingga malam bagi bertemu seramai mungkin penduduk.

Dalam pada itu, dua lagi janji yang diketengahkan ialah menaik taraf jalan raya, pencahayaan lampu dan keselamatan taman perumahan serta menyediakan dana bagi membantu aktiviti komuniti seperti pertandingan sukan dan program kebudayaan.

Jason yang juga seorang peguam berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button