BISNES & EKONOMI

MGMC 2026 buka peluang pemain industri MICE Malaysia di Rusia

KUALA LUMPUR – Penganjur Kongres Meet Global MICE (MGMC) mempelawa penggiat industri perhotelan, syarikat pengurusan destinasi (DMC), syarikat penerbangan dan pembekal acara dari Malaysia bagi bertemu pembeli antarabangsa secara bersemuka di World Trade Center, Moscow pada 16 hingga 17 Disember ini.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelancongan Bandaraya Moscow, acara industri MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran) terbesar Rusia itu dijangka menghimpunkan lebih 3,000 profesional pelancongan perniagaan dari lebih 40 negara, dengan kira-kira 70 peratus daripadanya terdiri daripada eksekutif peringkat C.

Menerusi program tersebut, lebih 150 pembekal dijadualkan menyertai sesi pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B) bersama pembeli yang berkelayakan.

Program Pembeli Dihoskan (Hosted Buyers) turut membawa lebih 200 pembuat keputusan yang menguruskan belanjawan acara korporat utama dari China, India, Asia Tenggara, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Amerika Latin, Afrika serta Negara-Negara Komanwel Merdeka (CIS).

Ketua Jabatan Pembangunan Pelancongan Perniagaan, Jawatankuasa Pelancongan Bandaraya Moscow, Anastasia Popova berkata, pihaknya amat menghargai penyertaan pemain industri dari Malaysia yang kini sedang berkembang pesat sebagai antara destinasi MICE terkemuka.

“Kongres ini menawarkan peluang luar biasa kepada pakar dari Malaysia untuk mempamerkan potensi mereka di pentas global serta memperluas jaringan hubungan profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertemakan “The Anatomy of Success in MICE: From Ideas and Tools to Tangible Results”, persidangan edisi 2026 itu memfokuskan keseluruhan kitaran acara perniagaan bermula daripada konsep, pelaksanaan sehingga penilaian pascaacara.

Sesi berkenaan turut mengetengahkan kaedah praktikal yang boleh diaplikasikan secara langsung oleh para delegasi, merangkumi kajian kes mengenai kemampanan kewangan, teknologi digital, penerokaan pasaran baharu dan pengurusan krisis.

Selain kemudahan pusat konvensyen berkapasiti tinggi, Moscow turut menawarkan lebih 150 lokasi yang diintegrasikan ke dalam ekosistem acara perniagaannya termasuk muzium, estet bersejarah, teater dan mercu tanda bandar raya bagi membolehkan penganjur menyuntik pengalaman budaya dalam program perniagaan mereka.

Urusan logistik perjalanan delegasi antarabangsa turut dipermudahkan menerusi kemudahan permohonan visa elektronik (e-visa).

Penggiat industri yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi laman web rasmi MGMC.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button