BERITA SEMASA

ADUN Pulau Pinang nafi terbabit kes keganasan rumah tangga

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol menafikan dirinya individu yang dikaitkan dengan laporan terbaharu dakwaan keganasan rumah tangga membabitkan seorang wakil rakyat di Pulau Pinang.

Penafian itu dibuat menerusi hantaran di Facebook hari ini susulan laporan polis berhubung dakwaan seorang ADUN memukul isterinya yang dilaporkan semalam.

“Kes terkini ADUN Pulau Pinang itu bukan SAYA,” katanya.

Fahmi sebelum ini berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, selepas didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas, kira-kira pukul 10 malam, 22 Februari lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di mahkamah pada 27 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Susulan kes itu, Fahmi digantung daripada semua jawatannya dalam PKR sementara menunggu penyelesaian prosiding mahkamah, selain digugurkan daripada jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan seorang ADUN memukul isterinya baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala empat individu yang juga ahli keluarga dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button