BERITA SEMASAHIBURAN

Siti Nurhaliza raih dua pengiktirafan ASEAN, Asia

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon muzik Melayu apabila menerima dua pengiktirafan serantau menerusi ASEAN Records dan Asia Records, hari ini.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan luar biasa dua konsert berskala mega, Legacy 30 dan Gema Bumantara yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, mencipta rekod menerusi kategori Jumlah Penonton Terkumpul Terbesar bagi Dua Konsert Stadium Solo oleh Artis Rakaman Berbahasa Melayu.

Kejayaan itu diraih selepas kedua-dua konsert berkenaan berjaya menghimpunkan keseluruhan 145,000 penonton dalam tempoh 10 bulan, menerusi Legacy 30 pada 10 Januari lalu dan Gema Bumantara pada 17 Oktober lalu.

Kedua-dua pengiktirafan itu disampaikan Penasihat Rekod ASEAN dan Asia, Tan Sri Prof Abdul Latiff Abu Bakar pada Malam Apresiasi bagi meraikan kejayaan konsert Legacy 30 dan Gema Bumantara di sini, hari ini.

Kejayaan Gema Bumantara turut mencatat pencapaian tersendiri apabila konsert berteraskan muzik tradisional itu berjaya menarik kehadiran 73,000 penonton dalam satu malam.

Menerusi persembahan selama tiga jam itu, Siti menyampaikan 34 lagu tradisional secara solo, selain turut menampilkan penyanyi jemputan iaitu Haziq Rosebi, Noraniza Idris, Lesti Kejora dan King Nassar.

Penganugerahan berkenaan bukan sahaja mengiktiraf pencapaian luar biasa Siti dalam industri muzik, malah memperkukuh sumbangannya dalam mengangkat martabat muzik Melayu dan tradisional ke peringkat serantau serta antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button