POLITIK

PRN Melaka: Jangan ketepikan suara Gen Z, idea anak muda bernilai – Mukhlis

MELAKA – Suara dan pandangan golongan Generasi Z (Gen Z) perlu diberi perhatian dalam merangka pembangunan negara kerana idea mereka mampu membawa perubahan positif meskipun dianggap kurang pengalaman.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi,

Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah atau Mukhlis Mubin, 25, berkata, tanggapan bahawa golongan muda terlalu mentah atau belum mengenali dunia sebenar tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan pandangan mereka.

Menurutnya, idea yang diketengahkan anak muda mempunyai nilai tersendiri dan dalam keadaan tertentu lebih segar serta realistik berbanding pandangan golongan lebih berusia.

“Mereka dilabel seperti budak-budak lagi, Gen Z, strawberry dan sebagainya, tidak kenal dunia lagi, tetapi sebenarnya suara dan idea mereka kebanyakannya sangat realistik, betul serta wajar diambil pendekatan untuk membawa pembangunan dan kemajuan.

“Jadi, kita tidak boleh pinggirkan suara mereka,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Beliau berkata, hasrat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini juga didorong keinginan membawa suara golongan muda serta penduduk Kuala Linggi supaya mendapat perhatian sewajarnya dalam agenda pembangunan negeri.

Mengulas pengalamannya sebagai bekas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mukhlis berkata, pengalaman kepimpinan di universiti banyak membantu membentuk kemahiran komunikasi serta pemikiran kritis dan analitis.

“Pengalaman itu turut menjadi bekalan untuk berinteraksi dengan masyarakat selain mengemukakan idea yang praktikal dan boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Di universiti, kita dilatih menjadi pemimpin, berkomunikasi dengan baik serta berfikir secara kritis dan analitis.

“Perkara itu sangat membantu ketika berkempen, bukan sahaja untuk berjumpa rakyat tetapi menawarkan idea yang boleh diusahakan dan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Mengulas maklum balas sepanjang tiga hari berkempen, Mukhlis menyifatkan penerimaan yang diterimanya setakat ini sebagai positif.

Beliau berkata, golongan muda mempunyai pendekatan pantas, tangkas dan idea segar yang boleh dimanfaatkan dalam usaha membawa pembangunan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi supaya menunaikan tanggungjawab pada 14 November ini dan memberikan sokongan kepada calon PH nombor satu di DUN Kuala Linggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button