PRN Melaka: Bertanding dengan bermaruah, berkempen dengan berhemah – Azalina
KUALA LUMPUR – Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 diseru supaya berkempen secara adil, matang dan bermaruah serta menghormati perbezaan pendapat sepanjang tempoh 14 hari berkempen.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kempen pilihan raya perlu menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran khidmat kepada rakyat, bukannya ruang mencetuskan permusuhan serta perpecahan.
Beliau berkata, seramai 79 calon telah mengemukakan kertas penamaan bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada hari ini.
Daripada jumlah itu katanya, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 23 calon terdiri daripada 18 calon UMNO, empat MCA dan seorang MIC, selain lima calon rakan kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN).
“Dengan seorang calon bagi setiap kerusi yang dipersetujui, rakyat Melaka diberikan pilihan yang jelas untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kelancaran proses penamaan calon, yang menyaksikan tiada kertas penamaan ditolak dan kesemua 28 kerusi mempunyai pertandingan.
Beliau berkata, semua calon, jentera dan penyokong parti perlu mematuhi undang-undang pilihan raya serta peraturan SPR, selain mengelakkan sebarang provokasi yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kempen komunikasi digital dan media sosial, khususnya dalam kalangan jentera Penerangan UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri.
Katanya, dengan 43.6 peratus pengundi Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun, pendekatan komunikasi perlu lebih dinamik, kreatif dan dekat dengan golongan muda.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih, penggunaan akaun automatik atau bot serta dakwaan berkaitan sekatan capaian dan penurunan kandungan di platform digital.
Sebarang kandungan yang disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau pelanggaran sensitiviti 3R boleh dilaporkan menerusi saluran rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sementara itu, kesalahan pilihan raya boleh dilaporkan kepada SPR, PDRM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut bidang kuasa masing-masing.
Azalina menegaskan BN akan memberi tumpuan kepada calon, rekod perkhidmatan, manifesto dan tawaran penyelesaian kepada rakyat, selain tidak terlibat dalam kempen hitam atau black PR.
Beliau turut menyeru jentera Penerangan UMNO supaya membantu memperluas capaian kandungan rasmi calon BN menerusi interaksi tulen dan organik di media sosial tanpa serangan peribadi atau penyebaran maklumat tidak berasas.
Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh rakyat Melaka menilai setiap calon dan tawaran yang dikemukakan secara rasional, matang serta berasaskan fakta.
Pengundian awal PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 10 November manakala hari pengundian ditetapkan pada ini.
“Bertanding dengan bermaruah, berkempen dengan berhemah dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








