BERITA SEMASA

Anwar ucap tahniah BN menang PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.

Beliau berkata, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang telah ditunjukkan oleh jentera parti dan wakil rakyat di peringkat akar umbi.

Menurut Anwar, kemenangan berkenaan perlu ditanggapi dengan penuh tanggungjawab kerana ia merupakan amanah rakyat yang menuntut kepimpinan berintegriti, penyampaian perkhidmatan yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.

“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda MADANI dapat dizahirkan secara bersama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob atas kemenangan tersebut.

Dalam masa sama, Anwar mendoakan agar legasi khidmat serta kepimpinan allahyarham Bung Moktar Radin dapat diteruskan dan dipelihara sebaiknya demi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button