POLITIK

PRN Melaka: Rosli mahu teruskan legasi kepimpinan BN di Kuala Linggi

KUALA SUNGAI BARU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah mahu meneruskan legasi kepimpinan BN di kawasan itu dengan memberi tumpuan kepada kesinambungan pembangunan dan kemajuan untuk penduduk setempat.

Beliau berkata, mandat daripada penduduk Kuala Linggi diperlukan bagi membolehkannya meneruskan usaha pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Saya mengharapkan misi saya untuk meneruskan pembangunan dan kemajuan bagi DUN Kuala Linggi akan diteruskan, Insya-Allah.

“Saya memohon mandat daripada penduduk DUN Kuala Linggi untuk memilih saya sebagai calon bagi meneruskan legasi kepimpinan Barisan Nasional,” katanya selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini hari ini.

Rosli turut menzahirkan kesyukuran kerana proses penamaan calon bagi DUN Kuala Linggi berjalan lancar, dengan tiga calon diterima untuk bertanding di kerusi berkenaan.

mukhlis
Rosli (kanan) bakal berdepan persaingan tiga penjuru daripada calon Pakatan Harapan dan BERSAMA. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

“Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT kerana limpah dan kurnia-Nya. Dalam keadaan cuaca yang begitu indah, kita bersyukur kerana sesi penamaan calon bagi setiap calon telah dilaksanakan sebaik mungkin.

“Penerimaan kami bertiga telah diterima sebagai calon DUN Kuala Linggi,” katanya.

DUN Kuala Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Rosli daripada BN, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah daripada Pakatan Harapan (PH) dan Dr Nur Farhana Hamzah daripada Parti BERSAMA.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 November sebagai hari pengundian awal, manakala hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16 ialah pada 14 November.

Rosli sebelum ini diumumkan sebagai calon BN bagi Kuala Linggi pada 24 Oktober, sekali gus mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button