BERITA SEMASA

PRN Negeri Sembilan: BN tolak politik perkauman, politik ketakukan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menegaskan pendiriannya menolak sebarang bentuk politik perkauman dan politik ketakutan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat serta menjejaskan perpaduan negara.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai gabungan politik pelbagai kaum yang telah wujud lebih enam dekad, BN membuktikan Malaysia mampu dibangunkan berasaskan perkongsian kuasa, sikap saling menghormati dan kesederhanaan.

Menurut beliau, BN tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam masa sama, Zambry berkata, BN turut menolak politik ketakutan yang dimainkan pihak tertentu dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam sekiranya berlaku kerjasama politik antara parti tertentu.

Beliau menyifatkan pendekatan itu berbahaya kerana mampu menimbulkan curiga, prasangka dan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Mengulas kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau menjelaskan persefahaman yang diwujudkan tidak bermaksud BN menggadaikan prinsip perjuangan atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

Sebaliknya, katanya, BN kekal berpegang kepada prinsip sendiri dengan menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan.

Beliau turut menegaskan BN akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta formula kenegaraan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah semua warganegara.

“BN menolak golongan yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan. Sebaliknya, BN akan terus mengekalkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat serta menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button