POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Maira bawa semangat anak jati Labu

LABU – Status sebagai anak tempatan serta semangat generasi muda menjadi antara kekuatan yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) dalam usaha merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon BN, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah, Siti Nur Umaira Hasim, 36, berkata, latar belakangnya yang dilahirkan, dibesarkan dan mendapat pendidikan di kawasan itu membolehkan beliau lebih memahami keperluan serta isu yang dihadapi penduduk setempat.

Siti Nur Umaira atau lebih mesra dipanggil Maira berkata, sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen amat menggalakkan apabila pengundi tidak lokek berkongsi pelbagai pandangan dan permasalahan yang dihadapi.

“Sepanjang saya turun padang dan berkunjung dari rumah ke rumah, sambutan daripada penduduk sangat baik. Mereka berkongsi pelbagai isu yang dihadapi mengikut kawasan masing-masing.

“Di DUN Labu terdapat kawasan taman perumahan dan kampung, jadi setiap tempat mempunyai keperluan serta cabaran yang berbeza. Antara isu yang sering dibangkitkan ialah masalah banjir,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Maira berkata, beliau akan berusaha mencari penyelesaian terhadap setiap isu yang dibangkitkan sekiranya diberi mandat untuk mewakili penduduk Labu.

“Insya-Allah, jika diberi kepercayaan oleh rakyat, saya akan membawa setiap isu yang disuarakan dan berusaha mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan penduduk,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru pengundi di DUN Labu supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan memberikan sokongan kepada BN.

“Saya berharap semua pengundi keluar mengundi dan memilih kerajaan BN. Saya juga memohon sokongan rakyat untuk mengembalikan gelombang biru di DUN Labu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button