Tiada tempat selamat untuk PATI di Malaysia – Imigresen
KUALA LUMPUR – Sebanyak 224 kawasan panas yang dikenal pasti menjadi lokasi keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara terus berada dalam pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, Pasar Chow Kit antara lokasi yang sentiasa diberi perhatian dan boleh diserbu pada bila-bila masa.
Beliau menegaskan tiada mana-mana lokasi di negara ini yang terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan, termasuk kawasan yang pernah diserbu sebelum ini.
“Suka saya ingatkan, tiada mana-mana lokasi yang bebas daripada tindakan serbuan walaupun tempat itu pernah diserbu sebelum ini.
“Sekiranya kita dapati masih ada aktiviti menyalahi peraturan Imigresen, serbuan akan terus dijalankan tanpa mengira berapa kali ia pernah dilakukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, pemantauan dan risikan dijalankan secara berterusan bukan sahaja di 224 kawasan panas, malah di semua lokasi berisiko dijadikan tempat persembunyian PATI.
“Warga tempatan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Di seluruh negara, kita mempunyai 224 kawasan panas dan Pasar Chow Kit adalah antara lokasi yang sentiasa berada dalam pemantauan pihak Imigresen.
“Maksudnya, serbuan akan diadakan pada bila-bila masa. Ia bukan sahaja tertumpu kepada warga asing, malah turut disasarkan kepada pemilik premis dan majikan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








