301 kadet Pegawai Imigresen tamatkan latihan
CYBERJAYA – Seramai 301 kadet berjaya menamatkan Kursus Sijil Asas Keimigresenan Gred KP19, KP29 dan KP41 siri 2 bagi tahun 2023 di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) Port Dickson di Negeri Sembilan, hari ini.
Majlis Perasmian Perbarisan Tamat Latihan tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.
Perbarisan tamat latihan hari ini disertai empat Kadet Penguasa Imigresen Gred KP41, diikuti 59 Kadet Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 dan 238 Kadet Pegawai Imigresen Gred KP19.
Dalam ucapannya, Ruji merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua kadet yang berjaya menamatkan latihan selama dua bulan itu.
“Sepanjang tempoh latihan ini, kadet didedahkan dengan latihan bagi membentuk jati diri pegawai yang berkualiti dan berintegriti tinggi.
“Mereka juga diberikan latihan serta pendedahan bersesuaian dengan cabaran yang bakal dihadapi apabila bertugas kelak terutamanya dalam menguruskan keberadaan warga asing di dalam negara ini,” kata Ruji.
Bagi menyahut gagasan Malaysia Madani, Ruji berkata, latihan turut menerapkan nilai-nilai teras Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat menghormati, berkeyakinan dan belas ihsan.
“Penekanan kepada semua nilai teras ini bertujuan melahirkan Pegawai Imigresen yang cekap, berkesan, berdaya saing dan mampan dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan,’ katanya lagi.
Kesemua pegawai ini akan mula bertugas secara rasmi pada 11 September di pintu-pintu masuk utama negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, dan turut ditempatkan di Ibu Pejabat JIM Putrajaya, AIMM, dan juga pejabat JIM di Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Sarawak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








