CYBERJAYA – Taktik sebuah sindiket menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan pengangkutan awam gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menahan 36 suspek dalam satu operasi khas di Kuala Lumpur, pada 30 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi tersebut dilaksanakan susulan kejayaan operasi terdahulu yang dijalankan di lokasi yang sama pada hujung Disember tahun 2022 dan Januari 2023.
“Pasukan operasi berjaya mengesan tiga buah bas ekspres yang berasingan membawa PATI di lebuhraya Pantai Timur dan mengekori ketiga-tiga buah bas tersebut sehingga ke TBS (Terminal Bas Bersepadu), Kuala Lumpur.
“(Setibanya di lokasi), pasukan operasi membuat pemeriksaan sebaik kesemua penumpang turun daripada bas.
“Hasil pemeriksaan tersebut, pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan 20 lelaki warganegara Bangladesh, 12 lelaki dan empat perempuan warganegara Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 45 tahun,” kata Ruslin dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Tambah Ruslin, semakan lanjut mendapati pasport mereka tidak mempunyai cap keselamatan yang masih sah dan terdapat juga PATI yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Semakan juga dibuat melalui sistem imigresen dan mendapati terdapat PATI yang memiliki rekod senarai hitam berdasarkan rekod kesalahan lampau.
“Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM10,000 bagi setiap PATI, dan modus operandi mereka adalah dengan membawa masuk PATI ke Malaysia daripada negara asal mereka melalui negara jiran dan kemudianya diseludup masuk melalui laluan haram.
“PATI berkenaan (kemudiannya) akan dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja secara tidak sah dengan menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” kata Ruslin lagi.
Kesemua PATI yang ditahan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








