BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Operasi besar-besaran Imigresen: PATI lari, sembunyi dalam bangunan

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 129 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi besar-besaran yang dijalankan serentak di seluruh negara, termasuk di sebuah tapak pembinaan di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embo Taha berkata, serbuan yang bermula jam 10 pagi itu dilancarkan susulan aduan awam berhubung kehadiran PATI di kawasan terbabit.

Menurutnya, terdapat PATI yang bertindak agresif dengan melarikan diri dan bersembunyi di dalam bangunan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa, tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan berada di negara ini tanpa pas yang sah,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embo Taha. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau berkata demikian ketika pemberita selepas operasi yang disertai seramai 81 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jafri turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap majikan warga tempatan yang menggaji atau melindungi PATI.

Beliau menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas penguat kuasa atau mengancam keselamatan anggota bertugas.

“JIM memandang serius sebarang bentuk penentangan atau ancaman kepada pegawai kami ketika menjalankan operasi.

“Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen iaitu menggaji PATI, dan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi PATI,” katanya.

Sebahagian PATI yang ditahan dibawa menaiki trak Jabatan Imigresen selepas serbuan. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Tambah beliau, bermula Mei ini, JIM akan melaksanakan operasi bersasar secara serentak di seluruh negara membabitkan lima sektor utama iaitu pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.

Operasi itu, katanya, bertujuan mengingatkan majikan supaya mematuhi undang-undang dan hanya mengambil pekerja asing yang sah dari segi dokumen.

“JIM juga menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat mengenai keberadaan PATI di kawasan masing-masing bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu, statistik JIM merekodkan sebanyak 30,993 PATI telah ditahan di seluruh negara sejak Januari hingga semalam, manakala 634 majikan turut dikenakan tindakan atas kesalahan berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button