BERITA SEMASA

5,000 jurutera tempatan disasar ikuti latihan Arm On-Demand menjelang 2027

PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 bakat jurutera tempatan mengikuti program Arm On-Demand Training menjelang akhir 2027 sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu penting bagi memastikan pelaksanaan program berjalan seiring dengan komitmen yang diberikan kepada syarikat terpilih dalam kerjasama strategik industri semikonduktor.

“Untuk peringkat Kementerian Ekonomi, saya mahu meletakkan sasaran kerana program ini bermula pada 2025, diikuti 2026 dan 2027. Pada penghujung 2027, kita perlu mencapai sekurang-kurangnya 5,000 peserta.

“Kalau tidak, momentum itu tidak akan selari dengan komitmen yang diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited dalam Industri Semikonduktor, di sini hari ini.

Menurut Akmal Nasrullah, peserta yang telah mendapat pendedahan menerusi program Arm On-Demand Training juga akan diberi kelebihan oleh syarikat yang menerima token Arm Flexible Access (AFA).

Pada majlis itu, beliau menyerahkan surat tawaran kepada Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd bagi memperoleh akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) serta program AFA.

Dalam perkembangan berkaitan pembangunan bakat, Akmal Nasrullah berkata, kerjasama melibatkan 12 universiti dengan sokongan kementerian, agensi dan industri telah dipersetujui bagi memperkukuh pelaksanaan program Arm On-Demand Training.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan saluran pembangunan bakat dalam bidang semikonduktor dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.

“Dalam pembangunan bakat pula, seramai 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button