BISNES & EKONOMI

Sasaran KDNK SG4 RM723.75 bilion perlu disokong pelaksanaan berkesan – Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Sasaran gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM723.75 bilion menjelang 2050 bagi empat negeri di bawah inisiatif SG4 memerlukan perancangan ekonomi yang mantap, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek pembangunan secara berkesan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus yang dibincangkan menerusi SG4 Business & Economic Forum 2026 perlu dinilai bersama keupayaan sebenar untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

“Pencapaian matlamat ini memerlukan komitmen semua pihak dan pendekatan pembangunan yang lebih progresif, bukannya bergantung kepada perancangan semata-mata.

“Sudah pasti untuk mencapai cita-cita besar ini, semua pihak yang perlu menjayakannya tidak boleh bersifat business as usual.

“Ia memerlukan perancangan yang berdaya maju, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek dan pelaburan yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini,

Menurutnya, penilaian terhadap potensi ekonomi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis juga perlu mengambil kira sumbangan Kerajaan Persekutuan, khususnya melalui peruntukan pembangunan serta pelaksanaan projek infrastruktur dan kemudahan asas.

“Peruntukan pembangunan Persekutuan bagi keempat-empat negeri itu berjumlah RM7.70 bilion pada 2025, berbanding anggaran gabungan belanjawan pembangunan kerajaan negeri sebanyak RM1.13 bilion.

“Jika dibuat perbandingan, skala peruntukan pembangunan Persekutuan adalah kira-kira 6.8 kali lebih besar,” tambahnya.

Beliau berkata, komitmen itu diteruskan melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030 dengan sebanyak 1,487 projek pembangunan diluluskan bagi empat negeri berkenaan, melibatkan keseluruhan kos RM71.52 bilion.

Malah, siling peruntukan pembangunan menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 turut meningkat kepada RM8.11 bilion berbanding RM7.98 bilion di bawah RP1 2026, iaitu pertambahan RM130 juta atau 1.6 peratus.

“Antara projek strategik yang menyumbang kepada pembangunan wilayah itu termasuk Kedah Rubber City, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tok Bali Industrial Park, Kertih Biopolymer Park, Perlis Inland Port serta Chuping Valley Industrial Area.

“Projek berkenaan berpotensi memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi wilayah menerusi kerjasama kerajaan dan sektor swasta,” ujarnya.

Dari sudut pelaburan pula, Akmal berkata, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi 2025 merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM37.23 bilion di keempat-empat negeri, dengan potensi mewujudkan 18,319 peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelulusan pelaburan tidak semestinya bermakna projek sudah dilaksanakan sepenuhnya, begitu juga anggaran peluang pekerjaan tidak boleh dianggap sebagai pekerjaan yang telah diwujudkan.

“Namun, kelulusan pelaburan bukan bermakna projek telah siap. Potensi pekerjaan bukan bermakna pekerjaan telah diwujudkan.

“Kita perlu memastikan projek benar-benar dilaksanakan, usahawan tempatan menyertai rantaian bekalan, dan rakyat mendapat pekerjaan berkualiti serta pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal menyuarakan kebimbangan terhadap kekangan infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih, yang boleh menjejaskan usaha menarik pelaburan dan memperluas kegiatan ekonomi di negeri terbabit.

Beliau secara khusus membangkitkan isu bekalan air di Kedah yang mempunyai margin rizab sifar peratus, selain masalah bekalan air yang turut dihadapi Kelantan.

“Bagaimana untuk membangunkan ekonomi tempatan dan menarik pelaburan dengan lebih rancak tanpa kemudahan infrastruktur asas seperti ini?” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan masalah berkaitan kemudahan asas perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak, selari dengan pelaksanaan projek pembangunan yang dibiayai Kerajaan Persekutuan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Hal ini kerana, kejayaan mencapai sasaran ekonomi jangka panjang bukan sekadar bergantung pada jumlah peruntukan dan pelaburan yang diumumkan, tetapi turut ditentukan oleh keberkesanan pelaksanaan serta kemampuan menyediakan kemudahan yang diperlukan rakyat dan sektor perniagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button