BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Kerajaan ambil langkah segera tangani krisis tenaga global

KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius perkembangan semasa di Asia Barat yang kini menimbulkan krisis tenaga global, sekali gus berpotensi menjejaskan bekalan tenaga, logistik, makanan, ubat-ubatan serta kos sara hidup rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah membincangkan isu ini sejak awal Mac secara mingguan termasuk libat urus bersama industri yang terjejas.

Beliau menegaskan bahawa keadaan semasa bukan lagi isu luar semata-mata, tetapi memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat serta perjalanan ekonomi negara.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan, bekalan asas terjamin, harga dipantau, dan ekonomi negara terus berfungsi dengan baik,” katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai krisis tenaga global hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, kerajaan turut memberi jaminan bekalan tenaga akan stabil bagi bulan April dan Mei, namun cabaran terbesar kini adalah menjamin keperluan bekalan tenaga bermula Jun dan seterusnya.

“Pelbagai ikhtiar digerakkan termasuk meneliti pengurusan permintaan dan penggunaan tenaga agar kelangsungan bekalan dapat diteruskan,” ujarnya.

Akmal menjelaskan konflik tenaga global turut menjejaskan rantaian bekalan barangan, memandangkan hampir semua sektor pengeluaran dan pengedaran bergantung kepada input tenaga.

Justeru itu, katanya, MTEN menekankan kepentingan memastikan keterjaminan bekalan makanan, ubat-ubatan, logistik serta kos sara hidup rakyat.

“Langkah mitigasi yang telah diselaraskan termasuk pemantauan harga secara harian dan mingguan, penganjuran jualan harga berpatutan, serta pencegahan aktiviti penyeludupan di sempadan.

“Kerajaan juga memantau keadaan ekonomi secara terperinci menggunakan dashboard indikator ekonomi bagi mengenal pasti tekanan dan sektor paling terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata, MTEN menekankan penyelarasan tindak balas kerajaan secara bersepadu melalui dasar makro, fiskal, kewangan dan sektoral, termasuk kerjasama dengan kementerian lain bagi intervensi jangka pendek dan sederhana.

“Ini penting bagi memastikan kesan krisis dapat diurus dengan berkesan dalam tempoh enam bulan hingga setahun,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada ketahanan bekalan negara dengan mempelbagaikan sumber bahan api, mengukuhkan kerjasama strategik dengan negara dagang utama dan memastikan keterjaminan input pengeluaran.

“PETRONAS dan agensi berkaitan sedang mengambil tindakan, manakala Bank Negara Malaysia melaksanakan sokongan pembiayaan kepada firma terjejas,” ujarnya lagi.

Selain itu, katanya, bagi mengurangkan tekanan harian, beberapa langkah praktikal dilaksanakan termasuk waktu bekerja fleksibel dan program Bekerja Dari Rumah bagi sektor perkhidmatan awam bermula 15 April inj, kecuali sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

“Semua langkah ini diambil untuk memastikan rakyat terus dilindungi, bekalan strategik negara kekal terjamin dan ekonomi Malaysia berdaya tahan walaupun dalam keadaan dunia yang tidak menentu,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button