MTEN fokus lindungi rakyat, kestabilan ekonomi hadapi krisis tenaga global
KUALA LUMPUR – Krisis Tenaga Global yang berpunca daripada ketegangan di Asia Barat bukan sahaja menjejaskan minyak dan logistik, malah turut memberi impak kepada bekalan ubat dan peranti perubatan negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memberi tumpuan menyeluruh bagi memastikan rakyat terus dilindungi serta kestabilan ekonomi negara terpelihara.
Menurutnya, krisis tersebut berpotensi mengganggu rantaian bekalan global termasuk bahan mentah penting seperti bahan aktif farmaseutikal (API), petroleum dan gas ethylene oxide, sekali gus meningkatkan kos pengilangan dan penghantaran.
“Sehubungan itu, kerajaan telah meneliti pelbagai langkah mitigasi termasuk pemantauan harga secara harian dan mingguan, penganjuran jualan harga berpatutan, serta pencegahan aktiviti penyeludupan di sempadan,” katanya ketika memberi taklimat mengenai Krisis Tenaga Global.
Mengulas lanjut, Akmal berkata,
usaha membanteras ketirisan turut diperkukuh melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa berkaitan serta pendekatan ‘Whole of Nation’ bagi memastikan keberkesanan tindakan.
Beliau berkata, dalam aspek keterjaminan ubat dan peranti perubatan, kerajaan mengambil langkah jangka pendek seperti memantau stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan serta menetapkan item tertentu sebagai item kawalan.
“Kerajaan juga melaksanakan Special Access Pathway bagi memastikan akses kepada keperluan kritikal tidak terjejas, khususnya dalam situasi gangguan rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau berkata, bagi jangka sederhana dan panjang, langkah lebih kukuh dirancang termasuk mewujudkan stok penimbal strategik nasional, beralih kepada penggunaan bahan mentah alternatif serta membangunkan dasar keterjaminan ubat negara melalui MyMedSecure.
“Pada masa sama, kerajaan turut memberi perhatian terhadap operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan keutamaan memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin,” katanya.
Akmal menegaskan, fokus kerajaan bukan sekadar memantau krisis, tetapi mengurus kesannya, mengurangkan risiko serta memastikan rakyat dapat melalui tempoh mencabar ini dengan sebaik mungkin, di samping memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








