BERITA SEMASA

Subsidi diesel nelayan diteliti, kerajaan pertimbang tempatkan polis di stesen minyak sempadan

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti mekanisme penyaluran subsidi termasuk diesel menggunakan sistem MyKad dan MyKasih, di samping memberi perhatian khusus terhadap isu yang dihadapi golongan nelayan susulan perbezaan kos bahan api dan pulangan hasil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung semalam.

“Beberapa ikhtiar yang akan disusuli termasuk apa yang telah diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan II mengenai memanfaatkan sistem MYKasih dan sistem MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk bagi diesel untuk rakyat Malaysia.

“Mekanisme ini akan diteliti Kementerian Kewangan (MOF) dan akan diputuskan Jemaah Menteri sebelum diumumkan secara muktamad kelak,” katanya pada Sidang Media Mingguan dan Taklimat Krisis Tenaga Global, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Fahmi berkata, isu subsidi diesel yang memberi kesan kepada nelayan turut diberi perhatian, dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta mengambil tindakan susulan.

“Mengambil kira perbezaan antara harga diesel bersubsidi dan pulangan hasil yang dinikmati serta diterima para nelayan, mengakibatkan aktiviti menangkap ikan terutama di kawasan pesisir pantai dan laut dalam terkesan,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, kerajaan turut mempertimbangkan penempatan anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen minyak kawasan sempadan bagi memperkukuh aspek keselamatan.

“Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan oleh pihak KPDN bahawa akibat daripada siri penahanan yang telah dilakukan terutama di stesen-stesen minyak di sempadan negara, maka beberapa aspek melibatkan keselamatan perlu dipertingkat.

“Oleh itu, Jemaah Menteri sedang mempertimbang keperluan kehadiran anggota keselamatan khususnya PDRM untuk mmemastikan aspek keselamatan di stesen-stesen minyak di sempadan, dipertingkat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button