BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Fahmi ingatkan akaun media sosial anak bawah 16 tahun bukan untuk dikendali sendiri, ibu bapa perlu kawal

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat mengenakan sekatan terhadap pembukaan akaun baharu oleh kanak-kanak bawah 16 tahun, namun akaun yang dikendalikan sepenuhnya oleh ibu bapa tidak dilihat sebagai satu masalah besar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, terdapat ibu bapa yang menguruskan akaun media sosial anak-anak mereka yang menjadi pempengaruh atau pencipta kandungan, dengan segala aktiviti muat naik dan komunikasi perlu dikawal oleh ibu bapa.

“Perkara yang ingin dielakkan adalah situasi di mana kanak-kanak sendiri mengendalikan akaun media sosial tanpa pengawasan kerana ia mendedahkan mereka kepada risiko komunikasi dengan pihak tidak dikenali serta penyalahgunaan data peribadi,” katanya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara, hari ini.

Dalam ucapan beliau, Fahmi turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa melindungi maklumat sensitif termasuk alamat rumah dan kawasan peribadi, memandangkan teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi disalahgunakan untuk memanipulasi gambar dan video kanak-kanak bagi tujuan tidak bermoral.

Katanya, penggunaan internet perlu dibuat secara berhemah dengan mengambil manfaat yang baik dan menolak kandungan yang tidak sihat.

Beliau berkata, penggunaan internet dan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur memerlukan pemantauan rapi memandangkan mereka masih belum matang sepenuhnya serta terdedah kepada risiko jenayah siber, eksploitasi data dan pengaruh kandungan negatif.

“Ibu bapa yang membeli telefon pintar, tablet dan melanggan perkhidmatan internet, maka ibu bapa juga perlu mengambil kawalan. Ibu bapa main peranan, bukan pengasuh,” katanya.

Menurut Fahmi, Malaysia mengambil pendekatan seiring dengan beberapa negara lain termasuk Australia dan Indonesia dengan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial sebagai langkah melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

“Capai umur 16 tahun, nak main media sosial, mainlah. Bawah 16 tahun, ada banyak lagi aktiviti lain yang boleh dibuat. Kita tidak menghalang anak-anak bermain permainan digital, tetapi jangan abaikan pendidikan,” ujarnya.

Beliau berkata, kanak-kanak masih boleh menjalani pelbagai aktiviti termasuk permainan digital, namun ia perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab pembelajaran serta kawalan masa penggunaan peranti.

Fahmi turut berkongsi pendekatan peribadi dengan mengehadkan tempoh bermain permainan dalam talian anaknya serta menetapkan sekatan tertentu bagi mengelakkan ketagihan terhadap dunia digital.

“Ini bukan kejam, tetapi untuk mendidik anak-anak supaya tahu batas dan berpada-pada. Internet itu baik, namun bukan semua kandungan dalam internet itu baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button