Pulau Pinang dipilih tuan rumah HAWANA 2026, bakal himpun 1,000 pengamal media
BUTTERWORTH – Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan berprestij itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain disertai menteri-menteri komunikasi negara ASEAN, wakil media antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia serta veteran industri.
Beliau berkata, penganjuran HAWANA juga bertujuan memperkukuh jaringan serta kerjasama strategik industri media di peringkat nasional dan ASEAN.
“Selain pengamal media tempatan, kita turut menjemput menteri komunikasi negara ASEAN, wakil media antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia serta veteran industri bagi memeriahkan sambutan kali ini,” katanya melalui kenyataan oleh Sekretariat HAWANA 2026 hari ini.
HAWANA disambut pada setiap 29 Mei sempena penerbitan edisi pertama Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 sebagai penghargaan terhadap jasa pengamal media kepada pembangunan negara.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM), Razif Saidin, 44, dalam satu lawatan kebajikan ke kediamannya di sini.
Razif yang berkhidmat selama 21 tahun sebagai Penolong Jurutera RTM berdepan komplikasi saraf kronik akibat kemalangan motosikal pada tahun 2023 dan memerlukan rawatan fisioterapi serta pengambilan ubat secara berterusan.
Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan sejak April 2023 itu telah memberi manfaat kepada 727 pengamal media di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan warga media, khususnya mereka yang berdepan kesukaran kesihatan dan kewangan.
Tambah Fahmi, dalam era media dipacu teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kepantasan maklumat, HAWANA 2026 turut menekankan kepentingan memperkukuh kredibiliti, etika serta kepercayaan awam terhadap media.
Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








