BISNES & EKONOMI

OPR kekal 2.75 peratus tanda keyakinan terhadap ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus mencerminkan keyakinan bank pusat terhadap keupayaan ekonomi negara untuk terus mencatat pertumbuhan aktif pada 2026.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu selari dengan jangkaan kebanyakan ahli ekonomi.

Menurutnya, pendirian MPC dilihat seimbang dengan prospek makroekonomi positif dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini.

“Justeru, kami percaya OPR berkemungkinan besar akan dikekalkan pada 2.75 peratus dalam mesyuarat MPC seterusnya pada November,” katanya memetik laporan Bernama.

Sementara itu, ahli ekonomi TA Securities Research, Shazma Juliana Abu Bakar berkata, keputusan BNM menunjukkan pendirian dasar monetari semasa yang terus menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Beliau berkata, pasaran menjangkakan risiko kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada 2027, khususnya sekiranya bank pusat utama kembali mengetatkan dasar monetari.

Menurutnya, kenaikan sederhana OPR dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap perbelanjaan swasta kerana perbelanjaan isi rumah masih disokong pertumbuhan gaji yang stabil, pasaran buruh yang kukuh serta bantuan kerajaan bersasar.

Bagaimanapun, katanya, kos pinjaman yang lebih tinggi berkemungkinan memberi kesan lebih ketara kepada perbelanjaan yang sensitif terhadap kadar faedah, terutama pembelian rumah dan barangan bernilai tinggi.

“Tempoh bagi sebarang pelarasan dasar bergantung sepenuhnya kepada perkembangan data semasa, khususnya kepantasan kenaikan kadar di Amerika Syarikat serta pergerakan inflasi domestik,” katanya.

Shazma Juliana berkata, inflasi dijangka kekal terkawal pada 2.1 peratus tahun ini dan 1.7 peratus pada 2027.

BNM hari ini mengekalkan OPR pada 2.75 peratus untuk mesyuarat MPC ketujuh berturut-turut selepas kadar itu dikurangkan 25 mata asas pada Julai 2025.

Dalam kenyataannya, bank pusat memaklumkan petunjuk terbaharu menunjukkan pertumbuhan global kekal mampan, disokong perkembangan pesat sektor teknologi global, keadaan bekalan yang bertambah baik serta pasaran buruh yang stabil.

BNM berkata, walaupun kadar inflasi mula mereda sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ia dijangka kekal pada paras tinggi susulan kesan lanjutan pemindahan kos tenaga kepada harga pengguna.

Bagi prospek akan datang, bank pusat berkata ketidaktentuan konflik di Asia Barat terus memberi tekanan terhadap pertumbuhan global dan inflasi.

Bagaimanapun, perbelanjaan berterusan dalam sektor teknologi dijangka dapat menyerap sebahagian daripada kesan negatif berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button