Siasatan RCI Tabung Haji diteruskan bagi elak negara terus tanggung rugi
BUKIT MERTAJAM – Siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan diteruskan bagi memastikan negara tidak berterusan menanggung kerugian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan, namun proses berkenaan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang.
“Macam (siasatan RCI) Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi, (tetapi apabila) ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham.
“Saya kata duit hilang RM12 bilion, macam mana hilang? Bila hilang? Siapa yang hilangkan, hal itu (pihak berkuasa) siasat. Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim. Itu cara kita perintah dan mentadbir,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya salah laku.
Pada 29 Julai lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan institusi berkenaan bagi tempoh tersebut, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.
Mengulas lanjut, Anwar berkata usaha membanteras ketirisan perlu diteruskan kerana Malaysia mempunyai sumber kewangan yang besar, namun sebahagian manfaatnya tidak sampai kepada rakyat akibat kebocoran dalam pengurusan dana dan peruntukan negara.
Menteri Kewangan itu berkata usaha membendung ketirisan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Apa tujuan ambil tindakan? Supaya (dapat) halang ketirisan. Siapa kata Malaysia ini miskin? Bukan, (cuma bantuan) tidak sampai ke bawah sebab banyak bocor di tengah jalan,” kata beliau. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








