Tabung Haji nafi dakwaan simpanan pendeposit RM30,000 hilang
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan tular kononnya seorang wanita kehilangan simpanan berjumlah RM30,000 dari akaun simpanannya, sebaliknya mengesahkan wang itu sebenarnya dimasukkan ke dalam akaun bank milik pendeposit itu sendiri.
TH dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, kejadian berkenaan berlaku pada Mac 2024 dan pihak pengurusan telah bertemu wanita terbabit di Kuching pada 9 Mac 2024 bagi menjelaskan situasi sebenar.
“Pendeposit berkenaan telah melahirkan rasa kesal dan memohon maaf. Perkara ini turut dilaporkan oleh media,” jelas kenyataan itu.
TH menegaskan bahawa simpanan pendeposit dijamin 100 peratus oleh kerajaan sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 dan mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan penyebaran maklumat tidak benar di media sosial.
Pada Sabtu lalu, TH turut memaklumkan bahawa ia telah menerima permohonan maaf daripada seorang bekas pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini mendakwa kehilangan lebih RM30,000 dalam akaun TH miliknya dan mengesahkan kes berkenaan telah diselesaikan.
Media pada 9 Mac 2024 melaporkan bahawa wanita yang dikenali sebagai Datuk Jabidah Monseri, 66, telah diberi penerangan berdasarkan bukti jelas sebelum beliau sendiri mengakui kekhilafan serta menyatakan rasa kesal terhadap dakwaan yang dibuat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








