Madinah terkilan tidak dipanggil prosiding RCI TH
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad terkilan apabila tidak dipanggil memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) walaupun sudah hadir di lokasi ditetapkan.
Madinah berkata, beliau sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada hari dan masa ditetapkan bagi prosiding berkenaan, namun namanya tidak dipanggil selepas menunggu lebih 30 minit.
“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa ditetapkan di JAKIM. Saya menunggu lebih daripada 30 minit tetapi terkilan, akhirnya tidak dipanggil.
“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” memetik BH online.
Madinah yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 berkata demikian ketika mengulas laporan RCI TH yang antara lain membangkitkan isu berkaitan pengauditan penyata kewangan TH.
Laporan RCI setebal 211 halaman itu dilaporkan mendakwa wujud ketidaktegasan Ketua Audit Negara, termasuk berhubung Penyata Kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 yang diberikan Sijil Audit Bersih.
Isu itu turut dibangkitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika Sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan laporan RCI TH.
Syed Saddiq berkata, keadilan perlu diberikan kepada bekas Ketua Audit Negara berikutan Madinah tidak dipanggil ketika prosiding RCI berkenaan dijalankan.
Mengulas perkara itu, Madinah menegaskan keputusan yang dibuatnya berhubung TH pada 2017 adalah berdasarkan kepentingan negara serta pertimbangan profesional.
Menurutnya, beliau mengeluarkan Sijil Audit Bersih dengan dua Emphasis of Matter (EOM) kepada TH pada Julai 2017.
“Jika kita memahami aspek perakaunan, pengeluaran EOM bermaksud penyata kewangan itu memerlukan perhatian.
“Ketika itu saya menggunakan pertimbangan profesional untuk mengeluarkan EOM bagi menarik perhatian kepada dua perkara material yang dikenal pasti semasa audit dan saya sudah jalankan tugas sebaik mungkin,” katanya lagi.
Beliau berkata EOM digunakan untuk menarik perhatian pengguna kepada perkara yang telah didedahkan dalam penyata kewangan tetapi dianggap penting untuk difahami.
Madinah turut berkata, Ketua Audit Negara bertanggungjawab melaksanakan audit secara bebas dan profesional berdasarkan Akta Audit 1957.
Katanya, keputusan mengeluarkan EOM dibuat berdasarkan bukti audit dan piawaian Audit Antarabangsa (ISA).
“Saya sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin ketika itu bagi memelihara kepentingan negara,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Madinah berkata pengauditan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Financial Position Review (FPR) yang dilaksanakan PwC merupakan dua penugasan berbeza dari segi objektif, skop dan mandat.
“Audit JAN dilaksanakan mengikut Akta Audit 1957 serta piawaian ISA dan ISSAI, manakala FPR oleh PwC pula merupakan penilaian khas berdasarkan terma rujukan yang ditetapkan pihak yang melantik firma berkenaan.
“Dalam isu rosot nilai misalnya, JAN mengaudit berdasarkan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) 139 yang berkuat kuasa ketika itu, manakala PwC mengambil kira Financial Reporting Standards Implementation Committee (FRSIC) Consensus 14, yang menurut Malaysian Institute of Accountants bukan merupakan piawaian mandatori.
“Oleh itu, kedua-dua penugasan oleh JAN dan PwC tidak boleh dibandingkan secara langsung,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








