BERITA SEMASA

Nash kemalangan motosikal, terima 52 jahitan di kepala

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Datuk Nash menerima 52 jahitan pada bahagian muka dan kepala selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, pada malam Rabu.

Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, 66, berkata, kejadian berlaku selepas dia selesai menunaikan solat Isyak di sebuah surau berhampiran kediamannya.

“Saya menaiki motosikal ke surau berdekatan rumah dan balik selepas ceramah. Waktu itu juga hujan. Dalam perjalanan itulah kemalangan berlaku.

“Mata saya masih belum boleh dibuka, manakala luka di bahagian kepala menerima 24 jahitan dan 28 jahitan lagi di dahi kiri. Syukur tiada kecederaan dalaman,” katanya memetik laporan Kosmo!

Nash yang popular menerusi lagu Pada Syurga Di Wajahmu berkata, dia bersyukur apabila penduduk sekitar yang berada di lokasi kejadian segera memberikan bantuan dengan menghubungi ambulans.

“Terima kasih kepada penduduk sekitar yang membantu saya malam tadi. Mereka yang pantas panggil ambulans,” katanya.

Ambulans kemudian membawa Nash ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan sebelum dia dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta bagi rawatan susulan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa melawat bekas vokalis Lefthanded itu yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

Pada April lalu, Nash menjalani pembedahan susulan serangan jantung apabila 80 peratus salurannya dikatakan tersumbat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button