Bendahari masjid maut dihempap dahan pokok
BERA – Seorang warga emas maut selepas dihempap dahan pokok tumbang ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Kampung Batu Papan, di sini petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, Kamar Seman, 65, yang juga Bendahari Masjid Batu Papan, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, siasatan awal mendapati mangsa menunggang Honda EX5 seorang diri sebelum dahan pokok dipercayai patah dan menghempapnya.
“Cuaca ketika kejadian baik dengan keadaan jalan kering, namun terdapat sedikit tiupan angin dan hujan renyai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, adik mangsa, Mohamed Zainuddin Seman, 62, berkata, dia sempat bertemu Allahyarham abangnya di Masjid Batu Papan selepas solat Asar, sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam, lapor BH Online.
“Allahyarham yang juga bendahari masjid memang jenis tidak tinggal solat berjemaah. Selepas Asar, dia biasanya keluar minum teh di Kuala Triang bersama rakan.
“Semalam pun dia baru pulang dari minum teh bila kemalangan berlaku. Seorang pengguna jalan raya telefon saya dan maklumkan arwah dihempap pokok,” katanya yang juga imam Masjid Batu Papan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








