LUAR NEGARA

Lima pendaki Bosnia maut ketika daki Gunung Elbrus

SARAJEVO – Lima pendaki dari Bosnia disahkan maut selepas terperangkap dalam ribut kuat ketika mendaki Gunung Elbrus di Rusia.

Reuters yang memetik agensi berita RIA Novosti melaporkan, Kementerian Kecemasan Russia berkata, daripada tujuh pendaki dalam kumpulan berkenaan, dua jasad mangsa sudah ditemukan pada ketinggian 5,350 meter di gunung tertinggi di Eropah berkenaan.

Jawatankuasa Siasatan Russia pula memaklumkan pasukan penyelamat menemukan jasad tiga lagi pendaki, namun operasi membawa turun terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca buruk.

Dua lagi pendaki yang terselamat berjaya dibawa turun dari gunung berkenaan untuk menerima rawatan.

Walaupun pihak berkuasa Russia tidak mendedahkan kewarganegaraan mangsa, agensi penguat kuasa tempatan mengesahkan kepada RIA Novosti bahawa pendaki yang maut berasal dari Bosnia dan Herzegovina.

Media Bosnia melaporkan, tujuh anggota ekspedisi pendakian itu berasal dari bandar Zenica di tengah Bosnia, termasuk pasangan suami isteri dan seorang doktor wanita yang bertugas di hospital tempatan.

Media Russia melaporkan, operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran akibat cuaca buruk termasuk angin kencang.

Gunung Elbrus yang berketinggian 5,642 meter, terletak berhampiran sempadan Georgia dan terkenal dengan perubahan cuaca mendadak serta keadaan pendakian yang mencabar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button