JKN Pahang sahkan lelaki meninggal dunia akibat strok haba
KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 20-an, di sini malam semalam, disebabkan oleh strok haba.
Menurut Pengarah JKN Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.39 malam, selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), sejak kelmarin.
Katanya, berdasarkan laporan, lelaki itu menyertai satu program larian di sekitar Teluk Cempedak, di sini kelmarin.
“Mangsa dipercayai pergi ke Bukit Pelindung untuk aktiviti larian mendaki bermula pada pukul 6.40 pagi dan kemudian ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan laluan trek pejalan kaki Hutan Bukit Pelindung pada 3 petang hari sama.
“Mangsa kemudian terus dihantar ke HTAA untuk rawatan lanjut dan tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA dalam keadaan kritikal dan segera diberikan rawatan sebelum dimasukkan ke ICU.
“Keadaan beliau semakin tenat walaupun rawatan optimum sudah diberikan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.39 malam.
“Sebab kematian adalah `heatstroke with multi organ failure’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Datuk Dr Rusdi berkata, JKN Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, kes kematian membabitkan strok haba itu adalah yang kedua berlaku di Pahang tahun ini.
“Kes kematian pertama akibat strok haba di Pahang berlaku pada 2 Februari tahun ini membabitkan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang menjalani Latihan Bandar Jengka, Maran.
“Sehingga kini jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang tahun ini adalah 18 kes, masing-masing 14 kes membabitkan kelesuan haba dan empat kes strok haba dengan dua kematian.
“Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian bagi negeri Pahang adalah dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35°C.
“Julat suhu pada hari kejadian adalah dalam lingkungan 24 hingga 33°C,” katanya.
Oleh yang demikian, katanya, JKN Pahang menasihati orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak komplikasi berikutan cuaca panas lebih-lebih lagi apabila beriadah atau menjalankan aktiviti luar.
Katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah seperti minum air kosong secukupnya, kurangkan pengambilan minuman berkafein, pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang, gunakan topi atau payung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







