JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas maut digilis lori

HULU SELANGOR – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terjatuh sebelum mangsa digilis sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Batang Kali-Ulu Yam, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, mangsa yang berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 7.30 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghantar barang.

“Ketika melalui Jalan Batang Kali-Ulu Yam, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai cuba memotong lori berkenaan dari sebelah kanan.

“Pada masa sama terdapat seorang pejalan kaki sedang melintas jalan raya. Mangsa dipercayai cuba mengelak pejalan kaki berkenaan sebelum hilang kawalan dan menyebabkan motosikal yang ditunggangnya terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdul Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button